Carian
Berita Teknologi Malaysia Sepanjang 2008
December 31, 2008 Aman

Tahun 2008 membawakan pelbagai perubahan kepada dunia teknologi tanah-air. Di aMaNz ini, saya cuba kumpulkan beberapa peristiwa yang menarik sepanjang tahun 2008 di dalam dunia teknologi tanah air. Berikut merupakan beberapa berita teknologi menarik sepanjang tahun 2008:

Pilihan Raya dan Internet

Malaysiakini Undi.Info
Di Malaysia sendiri, perkembangan teknologi agak drastik sepanjang tahun 2008. Tahun 2008 dimulakan di Malaysia dengan beberapa berita politik yang sensasi, yang mana sering dikaitkan dengan blog dan sebagainya. Sepanjang musim pilihan raya ini, beberapa laman terkemuka menjadi tumpuan seperti MalaysiaKini. Pihak pembangun MalaysiaKini juga turut menyediakan halaman khas, iaitu Undi.Info, yang mana dikemaskini dengan pelbagai info-info berkaitan pilihan raya, disamping menyediakan info keputusan pilihan raya. Yang menariknya, keputusan pilihan raya dikemaskini lebih pantas di halaman MalaysiaKini, dan selepas beberapa minit, baru sahaja ianya diumumkan di kaca televisyen.

Dunia Blog Tempatan

Dunia blog tanah air juga berubah kesan daripada Pilihan Raya ke-12. Blog tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Malah terdapat blog yang lebih iklan daripada artikel. Antara blog yang mendapat perhatian para pengguna tempatan adalah blog-blog yang memfokuskan kepada hiburan, politik dan juga agama. Urus niaga jual beli blog juga berlaku selepas kejayaan Bob menjual blognya pada tahun lepas. Terbaru, Adly telah berjaya menjual blog milkinya, Mobilelah pada harga RM10000.

Langganan Jalur Lebar
Bilangan Langganan Jalur Lebar Sehingga Suku Tahun Ke-Tiga 2008

Media Pengiklanan Tempatan

Nuffnang dan Advertlets masingmasing mendapatkan khidmat dari luar, mungkin disebabkan kekurangan pengiklan tempatan. Malah, Nuffnang telah melebarkan sayapnya kebeberapa buah negara seperti Filipina dan Australia. Terdapat juga beberapa media pengiklanan yang tidak dapat mengikuti rentak, dan terpaksa ditutup seperti GoKita.

Pendaftaran Domain .my

Mynic pula memulakan perkhidmatan pendaftaran Second Level Domain Name (2LD) iaitu .my. Melaluinya, para pengguna boleh mendaftarkan nama domain .my mereka dengan mudah. Orang perseorangan dan juga syarikat, masing-masing boleh mendaftarkan domain tersebut, berbeza dengan 3LD yang mana memerlukan dokumen syarikat untuk didaftarkan.

Perkhidmatan WiMax Di Mulakan

Selain itu, kita juga dapat melihat Packet one Networks (P1) memulakan perkhidmatan WiMax mereka yang mana menjadikan perkhidmatan WiMax pertama di Malaysia. Buat masa ini, perkhidmatan P1 WiMax boleh didapati dikawasan KLCC, Pekeliling, Setapak, Gombak, Seri Rampai, Sentul, Pudu, Subang Jaya, USJ1, USJ 7, Sunway serta dua bandar utama di Johor dan juga Pulau Pinang. Selain P1, terdapat juga syarikat lain yang turut menyediakan WiMax, iaitu AMax, daripada AsiaSpace Sdn Bhd. Tahun depan dijangka beberapa syarikat lain turut memulakan servis mereka, dan mungkin kita akan dapat melayari internet dimana-mana sahaja menggunakan WiMax menjelang 2010.

Industri CGI Tempatan Terus Gah

Industri CGI tempatan juga bertambah mekar dengan kemunculan beberapa syarikat yang mengkhususkan diri dalam industri tersebut, termasuklah syarikat terkemuka seperti Les Copaque. Animasi seperti Upin dan Ipin serta Ingat mendapat perhatian ramai, malah ianya setanding dengan animasi antarabangsa. Les Copaque turut terpaksa menolak tawaran daripada Disney disebabkan komitmen kerja mereka. Filem animasi CGI yang pertama yang mana dijangka akan ditayangkan tahun ini, terpaksa ditangguhkan kepada 12 Februari 2008. Selain daripada itu, beberapa filem CGI yang ditayangkan pada tahun ini adalah seperti CicakMan 2 dan juga Antoo Fighter.

makcik_pc
MakCik PC yang diwar-warkan pada hujung tahun lepas, terus senyap tanpa sebarang berita lanjut.

Persidangan Utama Yang Mendapat Perhatian Pengguna

Malaysia turut mencatatkan sejarah apabila menganjurkan Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT) 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Selain daripada itu, beberapa perjumpaan besar turut diadakan oleh beberapa pihak, seperti BarCampMalaysia, BarCampJohor, dan juga StartUpCamp. Selain itu, YouthMalaysia telah mengadakan persidangan khas untuk para remaja melalui Youth08, yang mana salah satu aktivitinya adalah pencarian pemuda dotCom. Dan pemenangnya adalah PaulTan dan juga ShoutMix. Dunia Sumber Terbuka tempatan juga turut mekar dengan aktiviti julung kalinya iaitu Foss 08.

Web 2.0 Mendapat Perhatian Pembangun Laman Web

Beberapa web tempatan bercirikan Web 2.0 turut muncul. Mudah.mY memulakan operasi dengan mengiklankan perkhimatan mereka di kebanyakkan media iklan, dan kini antara laman web yang dilayari ramai pengguna Malaysia. Ini, sekaligus menjadikan Mudah.mY antara tempat tumpuan untuk menjual barangan selain Lelong.com.my dan juga eBay.com.my.

Selain daripada itu, laman bookmark tempatan juga timbul, dan salah satunya adalah Negaraku! yang dibangunkan oleh Laman7. Ikon.my dan juga Connection.my antara laman sosial tempatan yang ciri-cirinya sama seperti Facebook. HotPicBox pula memulakan perkhidmatan sebagai penyedia pengehos imej tempatan.

Yoonic – Saluran TV di Internet

Yoonic.TV
Halaman Log Masuk Yoonic.tv

Yoonic pula muncul sebagai penyedia perkhidmatan TV dalam talian dengan menyediakan saluran RTM1, RTM2, TV3, NTV7, 8TV, dan TV9 termasuk dengan beberapa saluran luar negara yang menarik. Anda hanya perlu muat-turun aplikasi daripada mereka dan memasangnya secara percuma untuk dapat mula menonton TV menggunakan internet.

Adakah saya tertinggal sebarang perkara? Tinggalkannya di bahagian komen.

Komen