Cari @ Amanz

Persidangan Microsoft Mix akan bermula esok (waktu Malaysia, malam ini) yang mana menyaksikan Microsoft bakal memperkenalkan beberapa perkara baru, termasuk yang menjadi percakapan ramai, Internet Explorer 8, Silverlight 3 dan juga Windows Azure, cloud-computing daripada Windows.

Semua sedia maklum bahawa Microsoft sudah pun menghampiri peringkat akhir dalam pembangunan pelayar web mereka, Internet Explorer 8. Beberapa ura-ura sebelum ini mengatakan bahawa Microsoft bakal melepaskannya secara rasmi pada persidangan MIX ini, ataupun lebih tepat lagi pada 20 Mac, iaitu hari terakhir MIX 2009 bersidang. Beberapa perkara baru yang bakal diperkenalkan dalam IE 8 adalah seperti fungsi private-browsing, dan yang amat utama sekali adalah IE8 dikatakan mematuhi syarat-syarat dan standard dalam web. Buat masa ini, peratus penggunaan IE semakin lama semakin berkurangan, dan mungkin IE8 akan mengembalikannya kembali. Sebelum ini turut diperkatakan bahawa IE 8 merupakan versi terakhir dalam pelayar web berasaskan enjin Internet Explorer, sebelum Microsoft mula beralih kepada Gazelle.

Sebelum ini, Microsoft sendiri telah mengumumkan bahawa mereka bakal mempertontonkan Silverlight 3 pada MIX 2009. Pesaing terdekat kepada Adobe Flash ini telah pun mengumumkan kerjasama bersama beberapa laman-laman terkemuka, yang memperlihatkan penggunaannya dari masa ke semasa. Selain daripada itu, Microsoft juga turut memperkenalkan Silverlight versi khas untuk Linux, yang mana dikenali sebagai Moonlight. Buat masa ini, masih kekurangan berita berkenaan dengan Silverlight 3, kerana lebih ramai yang tertumpu kepada pelayar web daripada Microsoft, IE8.

Windows Azure
Persembahan Windows Azure di PDC 2008 [via]

Sekiranya anda masih ingat, Microsoft telah pun memperkenalkan Windows Azure pada PDC, Oktober 2008 yang lalu. Mungkin ianya akan mendapat perhatian kembali, apabila Microsoft memberitahu maklumat lanjut berkenaannya kelak di persidangan MIX 2009 ini nanti. Struktur penghargaannya masih belum diketahui lagi buat masa ini. Ianya dijangka, Windows Azure menemui para pengguna pada akhir tahun ini, bersama-sama dengan Windows 7.

Sama-sama kita nantikan produk-produk baru daripada Microsoft diumumkan satu demi satu di persidangan MIX 2009 ini nanti.

Via : Beyond Binary

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd