Selepas memperkenalkan Google Chrome 2.0 tidak lama dahulu, kini Google sekali lagi mengemaskini versi pembangunan pelayar web Chrome mereka kepada versi terkini, iaitu 2.0.171.0. Pelbagai perkara baru telah diperkenalkan, termasuk dari segi penggunaan dan kestabilan pelayar web Chrome.
Dalam versi terkini Google Chrome, ianya kini menggunakan WebKit versi 530.4 dan juga enjin JavaScript V8 versi 1.1.1.4. Selain daripada itu, Chrome 2.0.171.0 juga memperkenalkan fungsi FTP, penggunaan menu Bookmark, selain kebolehan untuk memadam data yang diisi pada borang (form) di web dengan hanya menekan kekunci Del.
Tahun ini memperlihatkan kesemua pembangun pelayar web, bertungkus-lumus membangunkan pelayar web yang terbaik bagi pengguna mereka. Microsoft baru sahaja melepaskan Internet Explorer 8, manakala Apple dan juga Mozilla masing-masing sedang membangunkan Safari 4 dan juga Firefox 3.5. Opera pula turut sama sedang membangunkan pelayar web terpantas, iaitu Opera 10, yang bakal sertakan sekali Opera Turbo.