Seperti minggu-minggu lepas, versi pembangunan Chrome yang terbaru telah pun dilepaskan. Versi terkini Google Chrome adalah 2.0.172.2, membolehkan para pengguna untuk klik-kanan pada teks yang di-highlight, seterusnya salin (copy) teks tersebut, suatu fungsi yang hilang pada versi sebelumnya. Selain daripada itu, versi terkini pelayar web Google ini juga membawa beberapa fungsi baru dan kestabilan serta prestasi yang ditambah-baik lagi.
Beberapa perkara lain yang diperbaiki dan diperkenalkan termasuklah fungsi untuk cache borang (form) yang mana apabila anda klik Back, anda tidak lagi mendapat mesej “Confirm Form Submission”. Selain daripada itu, Web Inspector pada Google Chrome kembali berfungsi dengan baik semula, dan masalah cetakan yang berlaku sebelum ini juga telah diselesaikan.
Google Chrome, kini telah menjadi antara pelayar web yang digunakan ramai, jauh meninggalkan Opera. Tahun 2009 juga memperlihatkan para pembangun pelayar web bersaing sihat antara satu sama lain. Beberapa pelayar web lain selain Chrome 2.0 Beta yang sedang giat dibangunkan adalah Safari 4, Firefox 3.5, dan Opera 10. Microsoft baru sahaja melepaskan pelayar web mereka – Internet Explorer 8 pada bulan lepas.