Telekom Berminat Membida Transmisi TV Digital

Telekom Berminat Membida Transmisi TV Digital

Diterbitkan pada Mei 8, 2009 oleh .

Telekom Malaysia Bhd menimbang membida spektrum transmisi televisyen digital yang akan meningkatkan usaha kumpulan itu membabitkan diri secara mendalam dalam perniagan televisyen digital. Pengarah Urusan dan juga Ketua pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata kumpulan itu akan mengkaji semua peluang, terutama dalam menyokong negara mendigitalkan bidang penyiaran menjelang 2015.

“Bidang teras kekuatan kami pada asasnya ialah rangkaian transmisi, oleh itu kami akan memberi tumpuan terhadapnya,” katanya ketika ditanya sama ada TM akan membida spektrum itu, selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka memanggil bidaan bagi spektrum UHF 470-742 megahertz, pada suku ketiga.

TM kini sudah menyokong industri penyiaran dengan menyediakan rangkaian transmisi untuk mereka. Zamzamzairani berkata selain spektrum itu, banyak elemen daripada penyiaran digital menawarkan peluang yang boleh diterokai.

Mengenai projek jalur lebar berkelajuan tinggi, beliau berkata kumpulan itu menjangka dapat memuktamadkan perbincangan dengan pihak yang berminat mengenai khidmat borongnya menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini kami mendapat respons positif daripada pelanggan untuk khidmat transmisi berkenaan,” katanya.

Via : Harian Metro


TIPS & ULASAN