Cari @ Amanz

Seperti yang dijanjikan, hari ini Mozilla telah melepaskan Firefox 3.5 yang mana mengguna pakai enjin Gecko 1.9, dan membawakan pelbagai fungsi baru yang menarik, dan menyokong pelbagai teknologi web yang baru, selain mempertingkatkan prestasi pelayar web tersebut. Firefox 3.5 sebelum ini dikenali sebagai Firefox 3.1 telah melalui proses pembangunan selama hampir setahun.

Melalui Firefox 3.5, ianya membawa sokongan kepada lebih 70 bahasa utama dunia, yang mana membolehkan para pengguna menikmati pelayar web sumber terbuka dari Mozilla ini dalam bahasa ibunda mereka. Selain daripada itu, ia juga memberikan anda lebih kawalan ke atas data-data anda, selain menyediakan fungsi Private Browsing, yang mana anda boleh melayari web tanpa sebarang data disimpan di komputer anda, setelah pelayar web ditutup.

Firefox 3.5 juga membawakan sokongan kepada HTML5, yang mana menyokong elemen web seperti video dan audio tanpa sebarang plugin atau addon tambahan. Ia juga sekaligus menyokong kod-kod CSS yang baru. Prestasi pelayar web Firefox 3.5 juga telah dipertingkatkan, membolehkan anda melayari web dengan lebih pantas berbanding sebelumnya.

Buat masa ini, masih tiada sebarang pautan rasmi daripada pihak Mozilla. Namun begitu, anda sudah boleh mengemaskini pelayar web Mozilla anda melalui pilihan kemaskini automatik yang terbina dalam pelayar web tersebut.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd