Selepas Kelantan mengumumkan untuk menjadi negeri dengan keupayaan WiFi menjelang 2011, kini Selangor turut sama mengumumkan hasratnya. Melalui projek yang dipanggil HyWIN (Hybrid Wireless Infrastructure Network), Selangor akan mula menyediakan kemudahan internet tanpa wayar yang dijangka bermula di Sah Alam pada 1 Januari 2010 kelak.
Melalui perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Selangor dengan Prosontech Sdn Bhd, kerajaan negeri Selangor mensasarkan tahun 2015 untuk menghubungkan seluruh Selangor dengan kemudahan HyWin ini, sekaligus menaikkan taraf hidup rakyat Selangor. Bersama-sama dengan ini, dasar U-Wisel (Ubiquitous Wi-Fi Selangor) dirangka, untuk memastikan projek pembinaan infrastrurtur internet jalur lebar dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dasar U-Wisel ini merupakan campuran di antara talian tetap dengan jaringan tanpa wayar bagi memastikan projek pembinaan infrastruktur internet jalur lebar dilaksanakan dengan jayanya.
Mungkin dalam masa terdekat ini, kita boleh melihat perkembangan sihat di negeri Selangor dan juga Kelantan. Dan mungkin negeri-negeri lain turut sama akan mula memberikan perhatian serius dalam menghubungkan rakyat dengan alam maya.