Google Bakal Memperkenalkan Chrome OS Pada 2010

Google Bakal Memperkenalkan Chrome OS Pada 2010

Diterbitkan pada July 8, 2009 oleh .

Setelah memperkenalkan pelayar web Google Chrome pada tahun lepas, hari ini, Google mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sistem operasi, yang kini dikenali dengan nama Chrome OS, dan dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada tahun depan – 2010. Sistem operasi ini adalah berbeza dengan Android yang turut sama dibangunkan oleh Google.

Google Chrome OS yang bakal dilancarkan adalah salah satu sistem operasi sumber terbuka, yang ringan dan sesuai digunakan untuk netbook. Kod sumbernya dijangka akan dilepaskan pada penghujung tahun ini, dan netbook yang menggunakan sistem operasi Google Chrome OS dijangka akan berada di pasaran pada awal tahun hadapan.

gos
Antaramuka gOS Cloud

Chrome OS dijangka akan menggunakan pelayar web Google Chrome yang mana dijalankan menggunakan kernel Linux khas. Konsep yang sama pernah dibangunkan oleh gOS, dalalm versi gOS Cloud, yang mana membawakan antaramuka lebih kurang seperti Google Chrome dan membawakan akses pantas ke aplikasi web popular pada masa kini. Walaubagaimanapun, dengan penggunaan nama GOOGLE, kita boleh dapat melihat suatu perkara yang lebih daripada itu.

Buat masa ini, terdapat pelbagai aplikasi web yang dibangunkan oleh Google, termasuk GMail, Google Calendar, Google Docs dan banyak lagi. Ke semua aplikasi ini dijangka akan dihubungkan bersama didalam Google Chrome OS, dan sekaligus memperkenalkan era cloud-computing kepada umum. Malah, Ubuntu juga sudah mula membangunkan sistem operasi mereka ke arah cloud, selain Microsoft dengan Windows Azure mereka.

Chrome OS juga dijangka akan memberi tamparan hebat kepada pembangun sistem operasi terkemuka dunia, Microsoft. Pada Oktober tahun ini, Microsoft dijangka akan melepaskan Windows 7, yang mana turut sama dibangunkan untuk netbook. Namun begitu, dengan penjenamaan Google disebalik sistem operasi, ianya dijangka akan membawa pelbagai perubahan kepada dunia sumber terbuka dan Linux.


TIPS & ULASAN