Cari @ Amanz

Mungkin ramai sedia maklum akan kekuasaan Google dalam arena enjin carian. Kini, ianya menguasai lebih 70% penggunaan enjin carian dunia. Kini, mereka sedang dalam pembangunan projek “Caffeine” yang mana merupakan salah satu usaha Google dalam memperkenalkan infrastruktur enjin carian serba baru kepada pengguna.

Menurut Google, beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa pekerja Google telah berusaha dalam membangunkan projek rahsia Google, iaitu pembinaan enjin carian generasi baru. Melaluinya, ia akan membolehkan Google mengindex laman web dengan lebih pantas, membawakan hasil carian yang lebih jitu dan tepat, selain mengintegrasikan beberapa fungsi baru.

Ianya sudah menjadi suatu rutin untuk Google untuk memperkenalkan perkara baru sebagai tambahan untuk servis-servis sedia ada. Namun begitu, pengenalan enjin carian yang serba baru adalah sesuatu yang mengejutkan. Biasanya Google hanya menambah dan mengintegrasikan beberapa fungsi baru dari masa ke semasa. Mungkin perkara ini perlu sebagai langkah untuk mendapat hati pengguna Yahoo! yang mula bekerjasama dengan Microsoft.

Bagi pengguna yang ingin mencuba enjin carian baru daripada Google, anda boleh aksesnya melalui halaman Sandbox Google. Antaramukanya masih lagi dikekalkan seperti biasa. Buat masa ini, beberapa hasil carian yang diperlihatkan juga kurang menarik dan kurang relevan. Mungkin ianya masih lagi dalam peringkat pembangunan. Walaubagaimanapun, perkara baru dalam enjin cariannya ini adalah carian masa-nyata. Kini anda boleh melakukan carian masa nyata dengan lebih mudah. Ianya suatu fungsi yang amat dinantikan oleh ramai pengguna.

Walaubagaimanapun, ianya masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai enjin carian Google yang baru ini. Lagipun, ianya masih lagi dalam peringkat percubaan. Sama-sama kita melihat perkembangannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd