Avast 5.0 Free AV Membawakan Antaramuka Serba Baru

Avast 5.0 Free AV Membawakan Antaramuka Serba Baru

Diterbitkan pada Ogos 23, 2009 oleh .

Avast merupakan salah satu antivirus percuma yang digunakan ramai pengguna seluruh dunia. Terkini, Avast sudah pun mempunyai antivirus percuma versi 4.8, dan kini Avast Free Antivirus 5.0 Beta sudah pun boleh dicuba dan diuji oleh para pengguna sekalian.

Avast 5.0 Beta Free AV
Antaramuka Avast 5.0 Beta Free AV [via]

Ianya masih lagi dalam peringkat beta, dan belum semua komponen dalam antivirus tersebut yang boleh digunakan buat masa sekarang ini. Salah satu perubahan drastik yang diperlihatkan pada Avast 5.0 ini adalah antaramukanya yang telah diubah kepada antaramuka yang lebih ceria berbanding sebelumnya. Walaubagaimanapun, rekabentuk baru ini masih belum selesai sepenuhnya, dan akan diperkemaskini dari masa ke semasa. Penggunaan nama juga telah diubah daripada Avast Home Edition kepada Avast Free AV.

Selain daripada itu, Avast 5.0 Beta ini masih belum dikenal pasti oleh sistem Windows 7. Sekiranya anda memasang Avast 5.0 Beta pada sistem operasi Windows 7, ianya masih akan menunjukkan sistem anda tiada antivirus yang terpasang. Versi beta ini juga masih tidak menyertakan beberapa tetapan penting yang bakal diintegrasikan dalam versi 5.0 kelak.

Anda boleh memuat-turun Avast 5.0 Free AV Beta daripada laman forum mereka. Walaubagaimanapun, perlu diambil perhatian bahawa ianya masih lagi dalam peringkat beta, dan tidak digalakkan digunakan pada mesin utama anda. Versi akhir Avast 5.0 Free AV dijangka akan menemui para pengguna pada bulan Oktober kelak.


TIPS & ULASAN