Yahoo! Messenger 10 Beta Sedia Di Cuba

Yahoo! Messenger 10 Beta Sedia Di Cuba

Diterbitkan pada Ogos 25, 2009 oleh .

Salah satu aplikasi dari Yahoo! yang diminati oleh para penggunanya adalah Yahoo! Messenger. Selepas memperkenalkan Yahoo! Messenger 9 pada tahun lepas, kini mereka sudah mula membangunkan versi terkini YM! iaitu Yahoo! Messenger 10. Versi beta YM! 10 sudah boleh dimuat-turun dan diuji oleh para penggunanya buat masa sekarang ini.

Salah satu fungsi utama dalam Yahoo! Messenger 10 adalah fungsi panggilan video berkualiti tinggi, sama seperti pada Skype. Dengan menggunakan webcam anda, anda kini boleh membuat panggilan video menggunakan skrin penuh, selain menikmati kualiti video dan audio yang berkualiti tinggi.

Yahoo! Messenger 10
Tetingkap Yahoo! Messenger 10

Selain daripada itu, pelbagai fungsi sosial juga mula diintegrasikan ke dalam Yahoo! Messenger 10. Melalui tab “Updates” yang baru, anda dengan mudah boleh melihat kemaskini semasa rakan anda dari laman-laman sosial seperti Flickr, Yahoo! Buzz, Twitter dan pelbagai lagi dengan mudah sekali.

Yahoo! Insider yang diperlihatkan setiap kali anda log masuk ke dalam Yahoo! Messenger juga memperlihatkan perubahan, dimana rekabentuk Insider baru diperkenalkan. Kini, ianya lebih tersusun, selain memperlihatkan kemaskini daripada Yahoo! Mail, dan berita-berita semasa dan banyak perkara lagi. Navigasi ke Yahoo! Insider juga ditambah pada tetingkap utama Yahoo! Messenger, membolehkan anda membuka Yahoo! Insider pada bila-bila masa sahaja.

Anda juga kini boleh mengubah bahasa pilihan anda dengan mudah, dimana setiap kali ingin log masuk, anda diperlihatkan dengan pilihan lebih 16 bahasa berlainan. Selain daripada itu, beberapa rekabentuk ikon baru diperlihatkan pada tetingkap IM Yahoo! Messenger 10.

Walaupun versi penuh Yahoo! Messenger 10 masih belum siap, anda boleh mencuba versi beta Yahoo! Messenger 10, dan mencuba segala ciri-ciri baru yang bakal diperkenalkan dalam Yahoo! Messenger 10 kelak.


TIPS & ULASAN