Dalam tempoh setahun sahaja, Google telah banyak membawa perubahan pada pelayar web mereka, Chrome. Dari versi sifar, kini ianya sudah pun mencecah Chrome 4.0, selain salah satu projek Google untuk mengubahnya menjadi sistem operasi – Chrome OS. Hari ini, mereka secara rasminya mengumumkan sokongan kepada extension (plugin/addon).
Kini, para pengguna Firefox mungkin beralih kepada Chrome dengan bermulanya sokongan extension pada Chrome secara rasminya. Walaubagaimanapun, ianya hanya dibuka kepada pengguna yang melanggan saluran pembangun sahaja buat masa ini, ataupun lebih tepat lagi, bagi para pengguna Chrome 4.0 dan ke atas sahaja.
Salah Satu Contoh Penggunaan Chrome Extensions
Sebelum ini pun, Chrome sudah memperkenalkan fungsi extension pada pelayar web mereka. Namun begitu, ianya memerlukan sedikit ilmu teknikal untuk dapat menggunakannya tanpa sebarang masalah. Menariknya, mulai hari ini, ianya tidak lagi memerlukan sebarang kepakaran teknikal.
Ini hanyalah merupakan langkah pertama Google, dan banyak lagi akan diperkenalkan dalam masa terdekat ini, sebelum memperkenalkan ChromeOS pada tahun hadapan.