Pandang Pertama Google Wave

Pandang Pertama Google Wave

Diterbitkan pada Okt 10, 2009 oleh .

Setelah sekian lama Google Wave diperkenalkan, baru sahaja hari ini saya dapat mencubanya. Bagi yang masih tertanya-tanya, apakah itu Google Wave, ianya merupakan salah satu aplikasi dalam talian yang membolehkan para pengguna berkomunikasi dan berbincang pada masa nyata.

Jikalau pada Twitter, segala data yang dihantar dipanggil Tweet, pada Google Wave pula, segala data yang dihantar dipanggil sebagai wave. Sebuah wave itu mungkin satu dokumen dimana para pengguna boleh berbincang pada masa nyata dan bekerjasama menulis dan mengubah dokumen tersebut menggunakan editor yang disediakan Google dengan mudah. Selain daripada dokumen, wave juga boleh dihantar dalam bentuk imej, video, peta dan banyak lagi.

Wave dan Pelayar Web
Tiga Pelayar Web Yang Di Sokong Sepenuhnya

Sekiranya anda telah mendapat jemputan untuk menyertai Google Wave, perkara pertama yang anda perlu buat adalah pastikan sama-ada pelayar web anda disokong ataupun tidak oleh Google Wave. Saya sering menggunakan Mozilla Minefield, dan amat mendukacitakan kerana ianya tidak disokong oleh Google Wave. Internet Explorer juga tidak menyokong Google Wave.

Wave

Setelah log masuk ke dalam Google Wave, anda akan dapat melihat tiga-ruangan yang mana masing-masing mempunyai fungsi-fungsi mereka yang tersendiri. Ruangan pertama memperlihatkan navigasi dan juga senarai rakan-rakan anda, ruangan kedua memperlihatkan senarai aktiviti anda pada Google Wave, yang mana turut dikenali sebagai Inbox, dan ruangan terakhir adalah dimana anda boleh melihat sesuatu wave itu, dan mengeditnya serta menghantarnya dengan mudah.

Pada Google Wave, anda turut sama boleh menyertakan video daripada YouTube, peta daripada Google Maps, pautan ke laman web lain, atau apa sahaja yang menarik untuk dikongsi bersama rakan anda yang lain dengan mudah. Menariknya, anda juga boleh menambah penggunaan Google Wave melalui pemasangan extension. Ianya juga memudahkan anda menggunakan aplikasi pihak ketiga seperti penggunaan add-on pada Firefox.

Wave

Sekiranya ruangan untuk anda menulis atau membaca pada Wave tidak mencukupi, anda boleh membesarkannya dengan mudah, dan ini akan membuatkan navigasi anda berubah ke bahagian atas, sekaligus membolehkan anda membaca sesuatu wave itu dengan menggunakan ruangan pelayar web sepenuhnya.

Ianya merupakan salah satu aplikasi komunikasi yang amat menarik sekali daripada Google, namun dengan senarai rakan-rakan yang tidak sebegitu ramai, ianya menjadikan Google Wave tidak begitu menarik. Selain daripada itu, akaun saya juga tidak terdapat pautan untuk menjemput orang lain. Mungkin kerana Google ingin memenuhi kehendak ramai terlebih dahulu sebelum membuka jemputan secara viral seperti GMail dahulu.


TIPS & ULASAN