Ubuntu 9.10 Karmic Koala Di Lepaskan

Ubuntu 9.10 Karmic Koala Di Lepaskan

Diterbitkan pada Okt 30, 2009 oleh .

Canonical secara rasminya telah pun melepaskan sistem operasi Ubuntu Linux 9.10 yang mana dikenali sebagai Karmic Koala tepat pada tarikhnya, iaitu 29 Oktober 2009. Ubuntu 9.10 membawakan pelbagai perkara baru, dari pada skrin boot sehinggalah tema desktop yang kini lebih menarik berbanding sebelumnya.

Ubuntu Software Center
Ubuntu 9.10 Memperkenalkan Fungsi Software Center

Secara asasnya, kini Ubuntu Linux menggunakan sistem fail EXT4, kernel Linux 2.6.31, persekitaran desktop GNOME 2.2.8, serta membawakan pengurus boot GRUB 2. Secara ringkasnya, berikut merupakan beberapa perkara baru dan fungsi yang dipertingkatkan pada Ubuntu 9.10 Karmic Koala;

  • Masa boot yang dipercepatkan Sama seperti versi-versi sebelumnya, masa boot diberikan perhatian serius, dimana kini Ubuntu boot lebih pantas berbanding sebelumnya.
  • Splash Screen Serba Baru – Ubuntu 9.10 mengguna-pakai XSplash, yang mana membawakan skrin splash yang menarik dan dianimasikan pada ketika anda log masuk ke sistem operasi anda.
  • Skrin Log Masuk Yang Di Perbaharui – Kini, GNOME Display Manager (GDM) diperkenalkan dengan rekabentuk baru (dengan integrasi XSplash), serta dipertingkatkan dengan pelbagai fungsi baru.
  • Wallpaper Serba Baru – Lebih 20 wallpaper baru diperkenalkan yang membawakan imej dan gambar dari serata dunia.
  • Wallpaper SlideShoe – Sama seperti pada Windows 7, Ubuntu Linux juga memperkenalkan kebolehan untuk memutarkan wallpaper dari masa ke semasa, iaitu setiap 30 minit
  • Tema GNOME Yang Di Perbaharui – Ubuntu 9.10 membawakan tema Human yang diperbaiki dan diperbaharui, serta lebih 5 tema GNOME yang serba baru, serta koleksi ikon yang baru.
  • Ubuntu One – Seperti yang diperkatakan sebelum ini, Ubuntu 9.10 membolehkan pengguna menyimpan dan berkongsi fail mereka secara dalam talian dengan mudah. Ia juga turut diintegrasikan bersama aplikasi Tomboy serta Evolution.
  • Ubuntu Software Center – Ubuntu Software Center kini mengantikan fungsi Add/Remove yang mana membuatkan pengurusan aplikasi kini lebih mudah lagi. Kini ianya turut menawarkan penerangan yang lebih lengkap serta memperlihatkan paparan antaramuka bagi sesuatu aplikasi.
  • Empathy Instant Manager kini mengantikan aplikasi chat Pidgin.

Aplikasi Pejabat
OpenOffice.org 3.0 Di Datangkan Bersama-sama Ubuntu 9.10

Selain daripada itu, Ubuntu 9.10 turut membawakan pelbagai perkara baru yang menarik serta fungsi-fungsi baru yang menjadikannya sebuah sistem operasi yang amat menarik sekali.

Ubuntu 9.10 - Chat
Sembang dengan rakan anda dari pelbagai rangkaian dengan Ubuntu 9.10

Untuk server, Ubuntu 9.10 dibangunkan dengan idea sokongan Ubuntu Enterprise Cloud (UEC) atau Amazon EC2, sekaligus membawakan fungsi cloud yang kian diperkatakan pada masa kini. Seperti biasa, anda boleh memuat-turun Ubuntu untuk desktop/laptop, netbook ataupun server serta didatangkan dalam bentuk KDE melalui Kubuntu 9.10.


TIPS & ULASAN