Cari @ Amanz

Jika sebelum ini Celcom memperkenalkan fungsi mengemaskini Facebook melalui SMS untuk para pelanggan mereka, kini Maxis turut sama memperkenalkan servis mengemaskini akaun Facebook anda melalui SMS, dan menariknya servis yang dikenali sebagai FB2Mobile ini kini adalah percuma sehingga bulan Februari kelak.

Untuk perkhidmatan yang serupa, Celcom mengenakan caj sebanyak RM1 seminggu, sebaliknya Maxis hanya mengenakan caj sebanyak RM2 sebulan. Walaubagaimanapun, untuk tempoh percubaan sehingga bulan Februari 2010, perkhidmatan SMS Alert disediakan secara percuma. Untuk tidak mengelirukan pengguna, sebarang SMS yang dibalas, masih akan dikenakan caj telco biasa, sebaliknya hanya SMS yang diterima sahaja percuma sehingga Februari 2010.

fb2mobile
Contoh Penggunaan FB2Mobile dan GPRS Pada Telefon Bimbit

Perkhidmatan yang masih diperingkat beta ini membolehkan anda dengan mudah mengemaskini status Facebook anda melalui SMS, atau memuat-naik gambar dan imej melalui SMS, selain menerima kemaskini rakan-rakan yang terkini terus ke telefon bimbit anda dengan mudah.

Untuk perkhidmatan ini, Maxis menggunakan kod 23223 (2Face), dan untuk memulakan penggunaannya, anda hanya perlu aktifkan aplikasi Facebook FB2Mobile, dan anda sudah boleh mengawal akaun Facebook anda secara terus dari telefon bimbit anda. Anda juga boleh menetapkan kemaskini yang ingin diterima oleh anda melalui halaman khas pada aplikasi tersebut.

Ianya masih lagi di peringkat beta, dan dibangunkan oleh Maxis dengan kerjasama nPlay Sdn Bhd.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd