Komuniti sumber terbuka Malaysia merupakan antara komuniti yang aktif di dunia dengan mengadakan pelbagai acara tahunan dan sebagainya. Selain daripada acara tahunan, kita juga mempunyai distro tersendiri, iaitu Knoppix Malay yang mana tidak lagi dibangunkan buat masa ini, serta terbaru Oshirix. Oshirix yang dibangunkan oleh Komuniti Mambang menggunapakai Debian Lenny 5 sebagai asas distro mereka.
Skrin Boot Oshirix
Skrin Loading Oshirix
Sama seperti distro yang lain, Oshirix turut memberikan peluang kepada para pengguna mencuba dalam bentuk LiveCD sebelum memasangnya di komputer anda. Menariknya, LiveCD Oshirix kelihatan lebih ringan dan pantas loading berbanding beberapa distro yang lain.
Antaramuka Desktop Oshirix
Desktop Oshirix menggunakan latar belakang berupa seekor kucing, selain memaparkan beberapa ikon aplikasi yang diminati para pengguna, serta pada sebelah kanannya, desktop Oshirix memaparkan sebuah widget khas yang memaparkan proses komputer anda secara ringkas.
Berikut merupakan beberapa aplikasi yang didatangkan bersama-sama dengan Oshirix 2009 SPE:
- Accessories – GPicView Image Viewer, gNote, LXT Terminal, LeafPad, Root Terminal, Shutter Screenshot Tool, Text Editor, xArchiver.
- Graphics – GIMP, Xara Xtreme, GeeQie, xPDF
- Internet – gwGet Internet Download Manager, Pidgin, gFTP, IceWeasel Internet Browser, Opera, LostIRC, xChatIRC, uTorrent, Vodafone Mobile Connect, dan juga Twittux.
- Multimedia – SMPlayer, Audacious, Audacity, MPlayer, Pitivi Video Editor, Vive.
- Programming – KompoZer, Glade Interface Designer.
- Office – AbiWord, Scribus, gNumeric SpreadSheet.
SMPlayer Pada Oshirix
Beberapa aplikasi yang selalu disertakan dalam distro Linux seperti OpenOffice, Mozilla Firefox, dan juga Mozilla Thunderbird tidak kelihatan pada distro Oshirix. Namun beberapa aplikasi alternatif kepadanya disertakan, selain anda boleh memasangnya sendiri secara manual.
Oshirix 2009 SPE dilihat seperti lebih ditumpukan kepada para peminat internet, dimana pelbagai aplikasi khas disediakan kepada para pengguna yang sentiasa dalam talian, seperti aplikasi untuk Torrent dan juga Twitter. Selain daripada itu, aplikasi sekuriti iaitu ClamTK Virus Scanner turut disertakan untuk memastikan komputer para pengguna berada dalam keadaan yang selamat sentiasa.
Anda boleh memuat-turun Oshirix 2009 SPE ini secara terus daripada laman Komuniti Mambang, tetapi memerlukan anda menjadi ahlinya terlebih dahulu. Selain daripada itu, anda juga boleh menggunakan link alternatif daripada MyInfinityx untuk memuat-turun ISO Oshirix atau fail md5 Oshirix.
Oshirix Secara Ringkas [via]
Terima kasih kepada Saudara Hardyweb kerana menyediakan CD Oshirix kepada LinuxMalaya