Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama CGYNet hari ini bakal membawakan konsert Seribu Warna Siti Nurhaliza secara langsung dari Stadium Malawati ke kaca monitor anda. Dan semestinya, sama seperti tiket konsert, anda dikenakan bayaran sebanyak RM15 untuk menontonnya melalui internet.
Menerusi web Guild.MY yang mana turut dibangunkan oleh CGYNet, mereka bakal membawakan pelbagai bentuk hiburan untuk anda secara terus melalui internet ke kaca monitor anda dengan bayaran yang jauh lebih murah berbanding harga tiket sebenar. Sebelum ini, CGYNet pernah menguji sistem mereka melalui beberapa siri ceramah dan kuliah yang dibawakan secara terus ke internet.
Sama seperti pada laman web MediaPrima, Guild.MY juga turut sama menggunakan plugin Octoshape, yang mana melaluinya, para pengguna boleh menikmati video berkualiti tinggi pada masa-nyata, dengan kos yang lebih murah kepada penganjurnya. Anda boleh mencuba terlebih dahulu versi demo daripada Guild.MY sebelum membeli tiket mereka secara dalam talian.
Nampaknya, dunia media hiburan akan berubah tidak lama lagi, dengan tawaran untuk menonton konsert secara dalam talian tanpa perlu keluar ke stadium untuk menontonnya. Menarik bukan?
Kredit kepada MohdIsmail via RotiKaya. Hantarkan tips anda kepada @AmanFirdaus