Cari @ Amanz

Sempena dengan pengenalan Google Chrome OS kepada umum, Google juga pada masa yang sama telah melepaskan kod sumber Chrome OS yang dikenali sebagai Chromium OS. Versi penuh Chrome OS dijangka akan dilepaskan oleh Google, dalam masa setahun dari sekarang, iaitu pada hujung tahun 2010.

Melalui kod sumber ini, lebih ramai pembangun boleh menyumbangkan idea mereka, disamping membangunkan aplikasi mereka untuk Chrome OS. Buat masa ini, ianya diketahui yang mana Chrome OS akan menggunakan kernel Linux (buat masa ini, Chrome OS menggunakan kernel Linux 2.6.30), menggunakan asas Ubuntu, membawakan sistem fail EXT4, dan juga pelayar web Google Chrome.

Chrome OS juga akan memperkenalkan masa boot yang amat pantas, iaitu kurang 5 saat. Buat masa ini, mereka telah mencapai masa boot 7 saat ke skrin log masuk, dan tambahan 3 saat untuk memulakan pelayar web Chrome. Chrome OS dibangunkan khas untuk netbook, dan juga kepada sesiapa yang menghabiskan masa mereka banyak dalam internet, dengan menggunakan aplikasi berasaskan internet.

Chrome OS juga tidak akan menyimpan sebarang data pada cakera keras, sebaliknya semua akan disimpan pada internet. Pada masa yang sama, Chrome OS akan menjadi sistem operasi yang paling selamat, dimana setiap aplikasi akan dijalankan melalui internet. Chrome OS juga akan menyemak integriti kod mereka setiap kali boot, dan jika terdapat sebarang perubahan, ianya akan membaikinya terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun, disebabkan tiada sebarang sokongan luar talian yang disokong buat masa ini, Chrome OS dilihat tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh pengguna-pengguna daripada negara-negara dengan kualiti jalur lebar yang lemah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd