2010 – Google Fokus Pada Voice dan Cloud-Computing

2010 – Google Fokus Pada Voice dan Cloud-Computing

Diterbitkan pada Dis 30, 2009 oleh .

Tahun 2010 sudah mendekati kita, dan banyak syarikat gergasi sudah pun menyediakan perancangan mereka untuk tahun baru nanti. Google sendiri, kini sudah bersedia, dan tahun 2010 kelak, mereka akan banyak menumpukan perhatian mereka pada Google Voice dan juga cloud-computing.

Sebelum ini, Google telah pun memperkenalkan Google Voice, iaitu salah satu aplikasi untuk membuat panggilan persidangan, dan panggilan antarabangsa berkos rendah, selain menyediakan fungsi voicemail yang mana dihantar terus ke GMail berserta dengan transkripsi automatik, serta sokongan SMS. Buat masa ini, ianya hanya diperkenalkan di US, dan mempunyai hampir 1.4 juta pengguna berbanding Skype yang telah mempunyai hampir setengah billion pengguna.

Pada November yang lepas, Google juga telah memiliki Gizmo5, yang mana membolehkan Google Voice kelak beroperasi seperti Skype, dengan membolehkan para pengguna membuat panggilan antara PC, dan juga dari PC ke telefon lain. Selain daripada itu, ianya juga dikatakan yang mana Nexus One bakal menggunapakai Google Voice, sekaligus merendahkan lagi kos kepenggunaan dengan membolehkan membuat panggilan antara pengguna Nexus One secara percuma melalui Google Voice. Google Voice juga sedang dalam proses diintegrasikan dalam Google Apps, membolehkan organisasi lain menjenamakannya sebagai produk mereka pada kos yang berpatutan.

Pada masa yang sama, cloud-computing juga akan diberikan perhatian serius oleh Google, memandangkan yang mana Chrome OS bakal mengguna-pakai sistem cloud-computing, dimana semua data disimpan pada server yang boleh diakses dengan internet. Beberapa aplikasi yang secara langsung berkait dengan cloud-computing adalah seperti Google Docs, Picasa Web, YouTube, Google Calendar dan banyak lagi. Baru-baru ini, Google telah memperkenalkan Google Dashboard, membolehkan pengguna melihat penggunaan data mereka di laman web Google dengan mudah, dan menguruskannya dengan lebih efisyen.

Tahun 2010 kelak sudah tentunya bakal membawakan pelbagai perkara baru pada dunia teknologi, dan sama-sama kita lihat kelak, apa yang akan kita dapat pada tahun baru ini kelak.


TIPS & ULASAN