Carian
Teknologi dan Internet Sepanjang Tahun 2009
December 31, 2009 Aman

Hari ini merupakan hari terakhir dalam tahun 2009, iaitu 31 Disember, dan seperti tahun-tahun lepas, segala berita menarik dihimpunkan pada satu artikel untuk tatapan para pembaca. Tahun ini, pelbagai perkara menarik berlaku dalam dunia teknologi, daripada aplikasi masa-nyata, pelayar web, sistem operasi dan banyak lagi.

1. Twitter

Twitter menjadi laman sosial masa-nyata yang mula digunakan oleh ramai rakyat Malaysia, termasuk artis dan juga ahli politik. Menariknya, segala berita menarik diketahui dan tersebar luas bermula daripada Twitter terlebih dahulu, seperti contoh, berita berkaitan Nizar dan juga Tsunami di Padang baru-baru ini.

Pada masa yang sama, lebih banyak aplikasi yang dibangunkan untuk Twitter melalui penggunaan API, sekaligus menjadikannya ianya makin menarik untuk digunakan. Twitter juga kini dalam proses ingin memperkenalkan fungsi geolokasi pada laman mereka, dan telah pun mula menjana wang dengan beberapa kerjasama antara enjin carian, iaitu melalui perjanjian bersama Google dan juga Microsoft.

2. Facebook

Facebook kini telah menjadi laman sosial yang terkemuka didunia, dimana ramai pengguna kini mula menghabiskan lebih masa dilaman Facebook berbanding laman-laman lain iaitu melebihi seramai 350 juta pengguna. Pembangunan aplikasi pihak ketiga untuk Facebook juga menjadi perhatian para pembangun, dimana, syarikat permainan dalam talian seperti Zynga turut mendapatkan keuntungan melalui Facebook dengan menyediakan permainan seperti PetVille, FarmVille dan banyak lagi.

Facebook Baru
Rekabentuk Facebook Yang Baru [via]

Facebook kini dalam proses untuk memperkenalkan antaramuka yang baru, dan bakal memperkenalkannya dalam masa terdekat ini, dimana segalanya tertumpu kepada carian pada Facebook. Seperti Twitter, Facebook juga ingin menyediakan carian masa-nyata melalui antaramuka mereka yang serba baru kelak.

3. Pelayar Web

Para penyedia pelayar web berlumba-lumba untuk memenangi hati para pengguna. Sejak Google Chrome dilepaskan pada tahun lepas, ianya telah menjadikan persaingan antara penyedia dan pembangun pelayar web lebih sengit, sekaligus menguntungkan para pengguna.

Microsoft sendiri telah pun melancarkan Internet Explorer 8 yang mana menyelesaikan pelbagai masalah yang dialami oleh Internet Explorer 6 dan 7 sebelum ini. Selain daripada itu, kini Microsoft juga telah memulakan pembangunan Internet Explorer 9 yang mana berkemungkinan besar akan diperlihatkan kepada umum pada bulan Mei kelak.

Mozilla pula turut sama bersaing dalam dunia pelayar web dengan melepaskan Firefox 3.5 yang mana telah menjadi pelayar web yang paling banyak digunakan oleh para pengguna seluruh dunia pada masa kini. Pada masa sama, kini Mozilla sedang giat membangunkan Firefox 3.6 yang akan diperkenalkan dalam suku tahun pertama 2010, selain Firefox 4.0 yang bakal membawakan pelbagai perubahan dari segi antaramuka dan juga fungsi.

Google pula sudah pun mencapai Chrome versi 4.0 dalam masa setahun daripada ianya dilancarkan, dan kini melalui Chrome terkini, ianya menyediakan sokongan kepada sistem operasi Mac dan juga Linux, selain Windows yang sudah sekian lama disokong olehnya. Pada masa yang sama, Extension juga sudah mula disokong oleh Chrome, menjadikan ramai pengguna Firefox beralih kepada Chrome.

Opera pula kini sedang giat dalam pembangunan Opera 10.5, yang mana membawakan pelbagai perkara dan fungsi baru, termasuk penggunaan enjin Carakan yang serba baru dan pantas, selain membawakan fungsi private-browsing melalui pembukaan tab baru.

4. Windows 7

Sistem operasi terbaru daripada Microsoft ini telah pun mula mendapat perhatian sejak akhir tahun lepas, dan ianya telah dilancarkan secara rasminya pada para pengguna pada 22 Oktober 2009, membawakan sistem operasi yang serba baru dan ringan, jauh berbeza berbanding Windows Vista.

Windows 7
Antaramuka Windows 7

Windows 7 membawakan antaramuka Aero sama seperti pada Vista, selain membawakan toolbar yang diperbesarkan, dengan fungsi untuk melihat thumbnail tetingkap yang dibuka mereka dengan mudah.

5. Pemendek URL

Bersama-sama dengan Twitter dan Facebook, dunia pemendek URL turut mendapat perhatian ramai, dimana pelbagai penyedia URL mula timbul di arena internet ini. Bit.ly kini menjadi penyedia pemendek URL terbesar di web apabila menjadi pilihan utama Twitter. Selain daripada itu, pada masa yang sama, beberapa badan besar, seperti Google, YouTube, Facebook dan WordPress juga turut sama menyediakan servis yang seumpamanya untuk para pengguna.

6. Google, Google dan Google

Sepanjang tahun 2009, Google telah pun membawakan pelbagai inovasi pada produk-produk miliknya, seperti pembuangan tanda beta pada GMail, memperkenalkan beberapa perkara baru pada Picasa, Google Apps serta beberapa perkara baru seperti Google Chrome OS, pemendek URL Goo.gl, dan juga Google Wave.

Google Wave membawakan kolaborasi masa-nyata, dan membolehkan para pengguna berbincang dengan lebih mudah lagi. Malah, Google juga telah membeli beberapa syarikat berasaskan internet seperti Gizmo5, EtherPad dan juga beberapa syarikat yang lain.

Ianya juga diketahui yang mana Google bakal memfokuskan pada Google Voice dan juga cloud-computing untuk tahun 2010 ini. Google Voice dikatakan akan diintegrasikan pada Android, membolehkan para pengguna membuat panggilan antara PC dengan mudah dan percuma, manakala cloud-computing kini menjadi titik konsentrasi Google kerana ianya bakal banyak diguna pakai pada Chrome OS yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

7. Sistem Operasi Netbook

Selain daripada sistem operasi utama untuk desktop dan juga laptop, sistem operasi khas untuk netbook juga turut dibangunkan oleh pelbagai pihak. Windows 7 sendiri menyediakan versi ringan khas untuk pengguna netbook, selain Google yang telah mengumumkan sistem operasi mereka yang tersendiri yang dipanggil Chrome OS, yang menggunakan konsep menyimpan data secara dalam talian melalui cloud-computing.

Pada masa yang sama, Moblin dan JoliCloud juga menyediakan fungsi yang sama, tetapi dengan kebolehan untuk menjalankan aplikasi tanpa sebarang penggunaan internet seperti Chrome OS. JoliCloud juga baru-baru ini telah keluar daripada Alpha, membolehkan para pengguna memuat-turun dan mencubanya pada netbook masing-masing. Moblin pula mendapat sokongan rasmi daripada Linux Foundation dan juga Intel, menjadikan sistem operasi untuk netbook yang makin menarik dan ringan, dengan pelbagai kemudahan asas disediakan.

8. Android

Android merupakan salah satu sistem operasi yang turut sama dibangunkan oleh Google, yang mana dikhaskan kepada telefon bimbit. Kini, pelbagai pembangun telefon bimbit terkemuka seperti Sony Erricsson, Motorola, HTC, dan Samsung mula menggunakan Android sebagai sistem operasi untuk telefon bimbit keluaran mereka.

Ianya dikatakan yang mana, dalam masa beberapa tahun lagi, Android bakal memenangi pasaran sistem operasi telefon bimbit, yang mana kini ianya dikuasai oleh Symbian milik Nokia.

9. Telefon Bimbit Pintar dan Skrin Sentuh

Apple iPhone 3GS
Apple iPhone 3GS

Gajet sempanjang tahun yang sering menjadi perhatian para pengguna adalah telefon bimbit pintar. Apple sendiri telah mengumumkan dan melepaskan iPhone 3GS pada tahun ini, dan beberapa ura-ura mengatakan yang mana iPhone 4.0 bakal menemui para pengguna dalam masa terdekat ini.

Selain daripada itu, Nokia juga turut membangunkan telefon bimbit siri-E dan juga siri-N selain memperkenalkan beberapa siri telefon bimbit baru yang menawarkan skrin sentuh. Blackberry juga terus memperkenalkan beberapa siri telefon bimbit mereka yang canggih, selain HTC yang memperkenalkan satu demi satu telefon bimbit yang baru. Sony Erricson pula muncul dengan Yari, Satio dan X10. Pada masa yang sama, Acer turut sama menyertai industri telefon bimbit dengan Acer Clove.

10. Bing

Enjin carian terbaru daripada Microsoft ini sudah pun mula memenangi hati para pengguna sejak ianya dilancarkan, dan telah pun mengumumkan kerjasama bersama Yahoo!, yang mana sekiranya ianya sipersetujui oleh pihak kerajaan mereka, Yahoo! akan dikuasai oleh enjin carian Bing. Pada masa yang sama, Microsoft juga sudah mula menjenamakan beberapa hartanah web mereka dengan menggunakan jenama Bing, sekaligus membezakannya daripada perkataan Windows Live.

11. E-Book Reader

Kini, segala informasi boleh didapatkan dalam bentuk ebook, dan dengan gajet Ebook Reader yang kini mula diperkenalkan, ianya memberikan kelahiran kepada buku digital, dimana para pengguna tidak lagi perlu membaca ebook mereka hanya dihadapan komputer sahaja. Antara pembangun yang membangunkan gajet Ebook Reader adalah seperti Amazon dan juga Sony.

Komen