Cari @ Amanz

Tahun 2009 juga turut sama membawakan pelbagai perkara baru kepada dunia ICT negara, dan dengan pengumuman Belanjawan 2010 yang menekankan serba sedikit pada dunia ICT, kita bakal dapat melihat dunia ICT tempatan terus berkembang dengan maju pada tahun akan datang.

Berikut merupakan beberapa perkara menarik yang berlaku dalam dunia ICT tempatan, yang mana memperlihatkan inovasi, dan lebih perhatian kini ditumpukan kepada dunia ICT Malaysia.

1. Laman Sosial

Apabila berkata mengenai laman sosial, kini ramai yang akan memikirkan mengenai Twitter dan Facebook. Walaubagaimanapun, berita yang amat besar pada tahun ini adalah apabila MOL Global milik warga tempatan, kini telah mengambil alih pengurusan Friendster pada harga lebih kurang $40 juta. Friendster yang serba baru ini juga membawakan pelbagai perubahan, dari segi antaramuka dan juga fungsi, selain mengintegrasikan bersama Friendster Wallet dengan menggunakan MOL Points.

Pada masa yang sama, Twitter dan Facebook turut mendapat perhatian umum apabila ramai artis dan tokoh politik tempatan mula menggunakannya. Malah, Facebook yang kini telah menjadi laman yang paling popular di Malaysia, turut diiklankan di kaca televisyen melalui iklan 1Malaysia di Facebook. Celcom maju setapak dengan membolehkan para pengguna mengemaskini Twitter dan Facebook melalui SMS dengan mudah.

Bersaing dengan Celcom adalah GladlyCast dan juga S2Twit yang turut menyediakan nombor gateway tempatan untuk memudahkan para pengguna.

2. Capaian Internet

Capaian internet juga mula diberi perhatian serius oleh pihak kerajaan, dan penyertaan P1 WiMax di arena internet tempatan telah serba serbi menukar dan memecahkan monopoli TM dibeberapa kawasan. Malah, iklan P1 juga turut kedengaran di sidang parlimen.

P1 Wimax merupakan antara penyedia Wimax tempatan, selain YTL yang bakal membawakan inovasi dalam dunia 4G pada tahun hadapan. Celcom Broadband menjadi pilihan paling ramai buat masa ini, manakala Maxis maju setapak dengan menyediakan sambungan internet selaju 21Mbps melalui HSPA+. UMobile dan DiGi turut sama menawarkan pakej yang menarik untuk para pengguna.

TM Streamyx pula terus memperkenalkan inovasi, dan pemotongan harga, selain dalam proses membawakan HSBB dibeberapa kawasan. Sebanyak 122 kediaman di sekitar Lembah Kelang sedang melalui ujian HSBB buat masa ini, yang menawarkan sambungan internet berkelajuan tinggi.

3. Perbankan Internet

Rakyat Malaysia mula membeli-belah melalui Internet dengan serius, dan ianya dikatakan angka penipuan di Malaysia yang melibatkan pembelian dalam talian adalah pada kadar yang amat rendah. Selain daripada itu, kini PayPal sendiri menawarkan kebolehan untuk memindahkan wang ke akaun simpanan di Malaysia, selain CiMBClicks membawakan inovasi dengan membolehkan para pengguna menyemak akaun melalui aplikasi ringkas iPhone. AmBank turut sama menyediakan kebolehan untuk menyemak akaun pengguna melalui telefon bimbit dengan mudah dan pantas.

4. Telefon Bimbit Pintar

Telefon bimbit pintar seperti iPhone dan HTC yang dikuasakan Android mula mendapat perhatian ramai. Pada masa yang sama, Blackberry juga turut sama mendapat perhatian para pengguna. Kesemua telefon bimbit ini membolehkan para pengguna mencapai internet dengan mudah dan dimana sahaja, seperti menyemak emel, dan laman sosial dengan mudah sekali.

Beberapa aplikasi khas juga dicipta untuk iPhone seperti aplikasi Satu Malaysia, MyEyes, CiMBClicks dan banyak lagi. Lebih ramai penyedia perkhidmatan mula menawarkan khidmat melalui dalam talian, seperti oleh CiMB Berhad, AmBank, dan juga MAS.

5. Blog, blog dan Blog

Dunia blog tempatan terus berkembang dengan pesat, dimana lebih ramai yang menulis blog dengan lebih serius. Malah, laman web kini banyak menjadi media alternatif. Kajian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan, para pengguna Malaysia lebih cenderung membaca artikel bercirikan politik dan hiburan di media online, berbanding artikel-artikel dengan tajuk yang lain.

Menariknya tahun ini, iLuvIslam yang terkenal dengan laman forumnya, kini telah pun mengeluarkan majalah akhbar mereka sendiri dengan tajuk yang sama iaitu iLuvIslam, yang mana bakal berada di pasaran mulai 1 Januari ini.

6. Media Iklan

Kebanyakkan media iklan yang menghubungkan para penulis dengan para pengiklan menghadapi kegagalan, dan kini tiga media iklan dalam talian yang terkemuka di Malaysia buat masa ini adalah Innity, Advertlets dan juga Nuffnang. Nuffnang sendiri maju setapak dengan membawakan ChurpChurp, iaitu suatu media pengiklanan dengan konsep mengiklan melalui Twitter.

7. Khidmat Tema Berbayar

Lebih ramai pereka web tempatan kini memulakan servis mereka tersendiri yang mana berkualiti setaraf dengan antarabangsa. KreativeThemes memulakan operasi mereka pada tahun ini, yang mana buat masa ini, mereka menyediakan tiga tema yang menarik dan menyejukkan mata. Mengikuti jejak KreativeThemes adalah LiteTheme yang membawakan tema-tema ringan dengan fungsi CSS3 dan HTML5. Terkini, ThemeBaker turut sama mengikuti jejak mereka, dan buat masa ini, LiteTheme dan ThemeBaker masing-masing menawarkan satu tema percuma.

8. Aplikasi Web

Beberapa aplikasi berasaskan web yang mula dibangunkan sepanjang tahun ini oleh para pembangun dari Malaysia. Ianya dimulakan oleh dengan NetizensMedia yang menyediakan perkhidmatan meringkaskan URL, yang dikenali sebagai XS.MY. Selain daripada itu, Blogtitude yang terkenal suatu masa dahulu kini berkubur. MentariWorks sendiri muncul dengan FeedMalaya dan sedang membangunkan beberapa aplikasi lain yang bakal menemui para pengguna dalam masa terdekat kelak.

Laman jual beli seperti Lelong dan terbaru Mudah terus mendapat perhatian para pengguna, dimana jual beli dilakukan dengan mudah dan selamat. Laman bookmark Negaraku menghadapi titik kejatuhan pada tahun ini, dan kini dalam proses pemulihan semula. GengBlogger dengan konsep ping mula diwujudkan. Kebanyakkan laman web ini mula mengaplikasikan Facebook Connect, memudahkan proses menguruskan pengguna, selain memudahkan para pengguna menggunakan perkhidmatan mereka.

9. Media Dalam Talian

Media tradisional kini memberikan perhatian yang amat serius kepada media dalam talian, dimana laman-laman seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Metro, The Star dan sebagainya kini dikemaskini dengan lebih pantas sebaik sahaja berita terkini diperolehi. Ini sekaligus membolehkan para pengguna mengikuti perkembangan dalam bentuk masa-nyata dengan lebih mudah.

Media-media berbentuk blog turut muncul, seperti OhMedia dan juga CypherFS yang mana menyediakan informasi semasa yang berkualiti tinggi kepada para pembaca.

MalaysiaKini yang terkenal dengan konsep langganan mereka terus maju, selain memperkenalkan rekabentuk baru bersempena dengan ulang-tahun mereka yang ke-10.

10. Sumber Terbuka dan Malaysia

Kadar penggunaan aplikasi sumber terbuka mula meningkat di dalam agensi kerajaan, sekaligus mengurangkan kos operasi mereka. Kini, kebanyakkan agensi kerajaan mula menggunakan OpenOffice dalam pejabat mereka, selain beberapa agensi kerajaan yang mula menggunakan sistem operasi sumber terbuka dalam operasi harian mereka.

Komuniti Mambang memperkenalkan sistem operasi mereka yang dikenali sebagai Oshirix 2009 SPE yang mana membolehkan para pengguna menggunakan sistem operasi yang ringan dan laju, selain mendapatkan sokongan dengan lebih mudah melalui forum Mambang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd