Cari @ Amanz

2010 telah pun tiba, dan dunia teknologi Malaysia tidak lagi akan sama seperti dulu menjelang tahun baru ini. Kerajaan Malaysia sendiri telah menyediakan belanjawan khas untuk bidang ICT sempena tahun ini, dan tentunya yang amat menarik perhatian pada tahun ini kelak adalah berkaitan dengan HSBB dan sambungan internet.

Internet

Untuk tahun ini, kerajaan akan menumpukan perhatian yang serius pada sambungan internet, dimana Malaysia menjangkakan untuk mencapai penembusan jalur lebar bagi isi rumah sebanyak 50% menjelang akhir tahun ini. Buat masa ini, angka penembusan jalur lebar Malaysia berada pada kadar 31.4%.

Pada tahun ini juga, TM bakal memperkenalkan internet berkelajuan tinggi yang mana turut dipanggil sebagai HSBB yang bakal menawarkan kelajuan sehingga 15Mbps pada suatu kadar yang amat berpatutan. Harga dan pakej yang bakal ditawarkan akan diperlihatkan oleh TM menjelang suku tahun pertama tahun ini.

Para penyedia sambungan internet melalui WiMax juga akan terus berkembang sepanjang tahun ini. P1 sendiri telah memperuntukan sebilangan besar wang untuk memperluaskan kawasan liputan mereka termasuk di Sabah dan Sarawak, selain YTL yang bakal memperkenalkan sambungan 4G yang serba baru menjelang pertengahan tahun ini.

Pada masa yang sama, penyedia talian komunikasi seperti Celcom, Maxis, DiGi dan UMobile turut bersaing secara sihat dalam industri ini. Maxis terkini sedang dalam proses memperkenalkan HSPA+ yang menawarkan kelajuan sehingga 21Mbps.

IPTV

Bersama-sama dengan talian internet berkelajuan tinggi, TM juga akan memperkenalkan pakej IPTV yang didatangkan bersama-sama dengan talian internet dalam satu pakej yang sama. Melalui IPTV, ianya kelak akan membolehkan para pengguna menikmati siaran rancangan kegemaran mereka melalui kaca televisyen dengan mudah, dan tentunya dengan talian internet yang berkelajuan tinggi.


Antaramuka Hypp.TV

Buat masa ini, TM sedang menguji beberapa saluran melalui Hypp.TV mereka yang mana dibangunkan dengan hasil kerjasama bersama-sama dengan Yoonic yang telah diperkenalkan pada tahun 2008. Melalui Hypp.TV, para pengguna boleh menikmati saluran rancangan kegemaran mereka secara terus di kaca monitor dengan mudah sama seperti pada Yoonic.

Selain daripada itu, Astro sendiri sedang membangunkan saluran HD mereka, dan akan memperkenalkan satu demi satu secara berperingkat. Walaubagaimanapun, khidmat daripada Astro ini bukan dalam bentuk IPTV, tetapi saluran satelit yang mana dijenamakan sebagai Astro Byond.

Web dan Aplikasi

Dunia web dan aplikasi web akan terus membangun di Malaysia secara pesat pada tahun ini, dengan adanya sedikit peruntukan oleh pihak kerajaan untuk pembangunan kandungan kreatif. Pada masa yang sama, MSC Malaysia juga menyediakan bantuan permulaan bagi syarikat-syarikat yang berminat mendapatkan bantuan mereka.

Lebih menarik lagi, Malaysia akan menjadi tuan rumah yang ke-10 untuk Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik (APICTA) pada tahun ini yang bakal diadakan pada bulan Oktober kelak, membuka lebih ruang kepada para pembangun untuk memperkenalkan produk dan inovasi mereka kepada umum.

Telefon Bimbit Pintar

Lebih banyak telefon bimbit pintar akan diperkenalkan di Malaysia dan dibawa masuk oleh para penyedia telekomunikasi seperti Celcom, Maxis dan DiGi. Celcom sendiri sedang dalam perbincangan bersama pihak Motorola dan juga HTC untuk membawa masuk telefon bimbit yang menggunakan sistem operasi Android, manakala Sony Erricsson dan Samsung juga bakal memperkenalkan telefon bimbit Android mereka di Malaysia dalam waktu terdekat. UMobile pula, baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama bersama dengan XFone untuk membawa masuk gajet-gajet XFone ke dalam Malaysia. CSL yang membangunkan telefon bimbit di Malaysia berkemungkinan besar akan memperkenalkan telefon bimbit kos rendah dengan teknologi 3G pada tahun ini.

PC Tablet

Tahun 2010 telah dispekulasikan sebagai tahun PC Tablet, dan beberapa nama besar seperti Apple dan Microsoft sedang membangunkan PC Tablet masing-masing iaitu iSlate dan juga Courier.


MakCik PC daripada Mimos

MakCik PC daripada pihak Mimos sudah lama tidak kedengaran berita, selain daripada evolusi MakCik PC kepada Jen-ii dan juga iDola. Mungkin tahun ini kita dapat mendengar berita berkaitan dengannya. Sama-sama kita nantikannya.

Laman Sosial

Penggunaan laman sosial akan terus berkembang di Malaysia, dengan pembelian Friendster oleh MOL Global baru-baru ini. Buat masa ini, Facebook telah menjadi laman yang paling popular di Malaysia, dan ianya kini mula digunakan oleh pihak kerajaan secara serius dalam menyampaikan maklumat kepada para rakyat dengan mudah. Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan 1Malaysia pada Facebook, dan terbaru Polis Di Raja Malaysia juga menggunakan saluran Facebook untuk berhubung dengan rakyat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd