Sejak penghujung tahun lepas, kita sudah mendengar akan pelbagai ura-ura yang akan berlaku didalam dunia perkomputeran dan teknologi di seluruh dunia secara umumnya, daripada ura-ura PC tablet daripada Apple, sehinggalah carian masa-nyata, dan pelbagai teknologi baru yang lain.
1. PC Tablet
Sama seperti yang dinanti-nantikan di dunia teknologi Malaysia, PC Tablet turut dinantikan oleh masyarakat seluruh dunia yang lain. PC Tablet yang pertama diperlihatkan oleh Mimos, melalui MakCik PC pada tahun 2008 yang lepas, dan kini ianya diikuti oleh Microsoft dengan PC Tablet yang dipanggil Courier dan juga terbaru, beberapa ura-ura mengatakan yang mana Apple juga bakal memperkenalkan PC Tablet mereka yang dipanggil dengan nama iSlate buat masa ini.
Pada masa yang sama, beberapa syarikat yang lain turut menumpukan perhatian mereka kepada PC Tablet, dan beberapa penganalisa industri telah pun mengatakan yang mana tahun 2010 akan dipanggil tahun PC Tablet.
Mimos sendiri telah memperkenalkan beberapa prototaip PC Tablet seperti MakCik PC, Jen-ii, dan juga iDola dengan harga bermula serendah RM500.
2. Telefon Bimbit Pintar
Telefon bimbit adalah antara gajet yang paling pantas berevolusi, dan membawakan pelbagai fungsi menarik dari masa ke semasa. Nokia sendiri telah diura-urakan sedang dalam pembangunan telefon bimbit siri-C, selain akan membawakan sistem operasi Symbian yang baru, dan menggunakan sistem operasi Maemo dalam banyak lagi telefon bimbit keluaran mereka.
Apple pula telah diura-urakan akan membawakan iPhone 4.0 yang mana bakal membawakan kamera 5.0 mega-pixel dengan beberapa fungsi-fungsi yang baru, selain banyak lagi telefon bimbit Android yang akan dikeluarkan, iaitu dijangkakan lebih 50 telefon bimbit Android akan dikeluarkan sepanjang tahun ini.
3. Fungsi Masa-Nyata
Kini, segalanya difokuskan kepada fungsi masa nyata. Google dan Bing sendiri telah membuat perjanjian bersama Twitter dan Facebook untuk mengintegrasikan data-data daripadanya kedalam enjin carian mereka, sekaligus membolehkan para pengguna mendapatkan informasi pada masa nyata dengan lebih mudah lagi.
Twitter sudah sedia maklum sebagai penyedia informasi masa-nyata yang terbesar buat masa kini, selain kini Facebook mula mengetengahkan fungsi carian pada halaman mereka dengan rekabentuk mereka yang baru.
4. Pelayar Web
Persaingan antara pelayar web sememangnya amat sengit beberapa tahun kebelakangan ini. Microsoft dijangka akan memperlihatkan Internet Explorer 9 pada tahun ini, selain Opera 10.5 yang akan membawakan enjin Carakan dan juga pelbagai fungsi baru yang bakal menjadi trend pada pembangunan pelayar web yang lain.
Mozilla juga sedang bergiat dalam pembangunan pelayar web mereka, dan dijangka akan memperkenalkan sehingga 3 versi pelayar web pada tahun ini, iaitu Firefox 3.6, Firefox 3.7 dan juga Firefox 4.0. Chrome yang sememangnya melalui masa pembangunan yang pantas, berkemungkinan besar akan mencapai Chrome 6.0 Beta pada penghujung tahun ini yang semestinya akan membawakan pelbagai fungsi yang baru.
5. GeoLokasi
Fungsi GeoLokasi kini turut mendapat perhatian luas daripada para pembangun, dimana Twitter sendiri telah memperkenalkan Geo API. Pada masa yang sama, Facebook juga sedang mengintegrasikan GeoLokasi pada aplikasi-aplikasi mereka. Telefon bimbit baru juga menyertakan fungsi GeoLokasi pada telefon bimbit mereka, dan fungsi ini dilihat bakal mendapat perhatian yang luas daripada para pengguna pada tahun ini.
6. Sistem Operasi
Sistem operasi akan terus berkembang pada tahun ini, dimana kita akan dapat melihat pembangunan Windows 8 yang bakal dilepaskan pada tahun 2011 atau 2012 kelak, selain Chrome OS yang dinantikan ramai yang bakal diperkenalkan pada tahun ini juga. Chrome OS yang banyak menggunakan fungsi cloud-computing telah pun mula mendapat perhatian sejak akhir tahun lepas, dan dengan pelancaran rasminya kelak, ianya mungkin akan mengubah cara perkomputeran kita.
Ubuntu pula akan membawakan sokongan LTS melalui 10.04 yang mana dijangka akan membawakan antaramuka seakan aero padanya. Sistem operasi Linux juga dijangka akan mengalami pelbagai inovasi sepanjang tahun ini.
Pada masa yang sama, sistem operasi telefon bimbit turut akan berevolusi. Android sendiri akan membawakan pelbagai fungsi yang menarik dengan pengenalan Android 2.0. Pada masa yang sama, Symbian akan membawakan antaramuka baru pada tahun ini, dan juga Maemo yang mendapat perhatian daripada pihak Nokia buat masa ini. Microsoft pula dijangka akan memperkenalkan Windows Mobile 7.0 pada tahun ini.
7. …dan banyak lagi.
Bersama-sama dengan ini, pelbagai perkara baru yang akan mendapat perhatian sepanjang tahun ini. Office 2010 yang bakal diperkenalkan kelak sudah tentu akan mendapat perhatian ramai pada tahun ini, diikuti dengan fungsi cloud-computing yang semakin mendapat perhatian ramai sejak Chrome OS dan Windows Azure diperkenalkan sebelum ini. HTML 5 juga akan terus membangun sepanjang tahun ini, selain masalah yang paling besar dijangka akan dihadapi sepanjang tahun ini adalah berkaitan dengan hak keperibadian (privacy) yang dikaitkan dengan laman-laman sosial.