Jikalau sebelum ini blog menjadi cabaran bagi para ahli politik dan parti-parti tanahair sehingga membawakan gelombang baru pada pilihan raya yang lalu, kini, ianya turut menjadi cabaran yang kuat bagi para artis tempatan dengan pertumbuhan blog-blog berkaitan artis dan hiburan dari hari ke hari.
Kini, kebanyakkan artis bimbang dengan pertumbuhan blog, dan malah ada yang membandingkan mereka dengan wartawan hiburan lain, serta mempersoalkan kebebasan menulis mereka yang dikatakan tidak beretika. Sebelum ini, Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Rajak sendiri telah memperkenalkan etika menulis blog, dan menyuruh jurublog mengguna-pakai etika tersebut dalam penulisan harian mereka.
Mungkin untuk mengatasi masalah ini, para artis kita turut perlu mengikuti jejak langkah ahli politik tempatan dengan mulakan blog mereka masing-masing, yang mana kini ianya telah menjadi amat mudah sekali. Malah, dengan adanya blog mereka sendiri, mungkin mereka dapat mengatasi komen-komen ke atas diri mereka dengan lebih professional, dan tidak lagi perlu menunggu para wartawan yang bertauliah untuk datang menemu-ramah mereka seperti sedia kala.