Mungkin semua sudah mengenali akan pembuat telefon bimbit tempata, iaitu CSL (Commitment Service Loyalty). Menariknya, kini, melalui kerjasama mereka bersama dengan Fusion Garage, mereka bakal membina PC tablet yang dikenali sebagai JooJoo.
Tablet JooJoo
JooJoo dikatakan merupakan projek asal TechCrunch yang mana dahulunya dikenali sebagai CrunchPad. TechCrunch telah pun memfailkan saman ke atas Fusion Garage.
JooJoo bakal membawakan skrin yang lebih besar jikalau dibandingkan dengan tablet Apple iPad, selain sistem operasinya yang serba ringkas dan mudah. Buat masa ini, masih tiada perancangan untuk menyokong aplikasi yang boleh dimuat-turun seperti pada iPad, sebaliknya, JooJoo bakal menyokong animasi Flash, tidak seperti Apple iPad.
Buat masa ini, masih tidak diketahui lagi harga bagi setiap unit JooJoo. Namun begitu, Fusion Garage telah pun mula mengambil tempahan awal pada harga $499 dan tablet JooJoo yang pertama dijangka muncul seawal hujung Februari ini.
CSL yang sebelum ini sering dilabelkan sebagai pembuat telefon bimbit yang menyerupai Nokia dan Blackberry, kini mungkin boleh menidakkan tuduhan tersebut, selain bakal menjadi pembuat PC tablet yang pertama di Malaysia, selain Mimos. Sama-sama kita ikuti perkembangannya.