Seperti yang dinantikan, hari ini, Google telah pun melancarkan servis terbaru mereka, iaitu Google Buzz, yang mana mengintegraikan secara automatik fungsi rangkaian sosial yang diminati ramai pada GMail dan laman Google yang lain.
Menariknya, pada Google Buzz, anda tidak lagi perlu menambah kawan seperti pada rangkaian sosial yang lain, sebaliknya ianya akan ditambah secara automatik berdasarkan kepada siapa anda menghantar emel melalui GMail. Pada masa yang sama, ianya mengintegrasikan beberapa sumber laman lain seperti daripada Picasa dan Twitter, dan anda boleh menentukan samaada anda ingin membuat perkongsian itu kepada umum atau kepada beberapa pihak terpilih sahaja.
Pada masa yang sama, Buzz diintegrasikan pada Inbox GMail, dimana anda boleh menerima semua kemaskini Buzz dalam bentuk thread yang tersusun, salah satu fungsi yang dicari-cari pada Twitter. Sama seperti Facebook, Buzz membolehkan anda berkongsi gambar, video dan pautan pelbagai laman web dengan mudah.
Google boleh dikatakan selalu gagal apabila ianya melibatkan rangkaian sosial. Sebelum ini, mereka telah mencuba memperkenalkan beberapa fungsi sosial seperti Jaiku (yang menyerupai Twitter), dan Google Wave, yang sudah menghilang kepopularitiannya sekarang. Walaubagaimanapun, masih terdapat Orkut yang masih digunakan dibeberapa negara, dan mungkin dengan pengenalan Buzz ini kini, ianya mungkin mengubah segala-galanya.