Celcom Broadband VS P1 WiMax – Pilihan Anda?

Celcom Broadband VS P1 WiMax – Pilihan Anda?

Diterbitkan pada Feb 16, 2010 oleh .

Umum mungkin sudah sedia mengenali dua penyedia sambungan internet jalur lebar yang sedia terkenal di arena tempatan ini, iaitu Celcom Broadband dan juga P1 WiMax. Namun, masalah yang sering wujud adalah yang berkait dengan pemilihannya. Di sini, kami membuat sedikit perbandingan, memudahkan anda membuat pilihan penyedia yang menepati citarasa anda.

Pendaftaran

Secara asasnya, P1 WiMax dan juga Celcom Broadband, kedua-duanya mengenakan bayaran sebanyak RM100 untuk pendaftaran, dan akaun anda akan aktif dalam masa kurang 30 minit daripada pendaftaran. Kedua-dua penyedia memberikan masa kurang seminggu untuk membolehkan anda menguji rangkaian dan boleh menutup akaun tersebut dalam tempoh tersebut, dan segala duit anda akan dipulangkan.

Celcom Broadband
Seperti sedia maklum, Celcom Broadband merupakan penyedia rangkaian 3G, dan oleh kerana itu, setiap pendaftaran disertakan dengan modem 3G secara percuma. Ketika saya mendaftarkan akaun Celcom Broadband saya dulu, modem 3G ini diberikan secara percuma dengan komitmen selama 24 bulan, namun begitu, kini ianya dikatakan diberikan secara percuma tanpa sebarang komitmen. RM100 yang dibayar terlebih dahulu ketika pendaftaran itu, akan ditolak pada bil bulanan yang pertama.

P1 WiMax
Berbeza dengan Celcom, P1 WiMax pula merupakan penyedia rangkaian 4G ataupun yang mana lebih dikenali sebagai WiMax. RM100 dikenakan ketika pendaftaran akaun baru, selain anda akan diberikan sebuah modem khas untuk digunakan oleh anda. Modem ini diberikan kepada anda secara percuma dengan komitmen selama 24 bulan, dan akan dikenakan penalti, sekiranya anda menutup akaun anda dalam tempoh kurang 24 bulan. Menariknya pada P1 WiMax adalah dimana anda akan diberitahu melalui SMS apabila akaun anda telah diaktifkan.

Nombor Telefon

Dengan pendaftaran Celcom Broadband dan P1 WiMax, anda akan diberikan sebuah nombor telefon peribadi, yang mana ianya dikhaskan dan berlainan bagi setiap pengguna.

Celcom Broadband
Celcom Broadband yang disediakan oleh Celcom Axiata Sdn Bhd menggunakan nombor telefon dengan awalan 019 sama seperti perkhidmatan mudah-alih mereka. Namun begitu, kepenggunaan nombor telefon tersebut adalah berlainan mengikut pakej. Melalui pakej asas, anda hanya boleh menggunakan fungsi SMS sahaja, manakala melalui pakej 98, anda boleh menggunakan fungsi SMS dan juga panggilan suara.

Namun begitu, caj yang dikenakan adalah amat tinggi, iaitu 50 sen bagi setiap SMS yang dihantar. Selain daripada itu, fungsi lain seperti Facebook Via SMS dan Twitter Via SMS tidak boleh digunakan melalui akaun Celcom Broadband ini.

P1 WiMax
Packet One Network pula memberikan nombor telefon bermula dengan awalan 03 sama seperti telefon rumah dan pejabat yang didaftarkan melalui Telekom Malaysia. Menariknya, mereka juga menyediakan pakej penggunaan, iaitu P0, P30 dan sebagainya, dimana setiapnya mengenakan caj yang berlainan dan didatangkan dengan minit panggilan yang berbeza. Pakej asas P1 didatangkan dengan P0, membolehkan para pengguna menerima dan membuat panggilan kemana-mana talian pada kadar 18s en seminit.

Ke-Mudah-Alih-an

Kedua-dua penyedia ini membolehkan anda menggunakan perkhidmatan mereka dimana-mana kawasan yang diliputi oleh rangkaian mereka.

Celcom Broadband
Seperti sedia maklum, Celcom sudah pun meliputi seluruh Malaysia dengan rangkaian Celcom mereka. Namun begitu, hanya beberapa tempat sahaja yang mendapat liputan 3G secara menyeluruh. Namun begitu, pada kawasan yang tidak terdapat liputan 3G, anda masih boleh melayari laman web melalui liputan EDGE dan juga GPRS.

P1 WiMax
P1 pula masih dalam proses membangun, dan kawasan yang diliputi oleh mereka amatlah sedikit buat masa ini. Namun begitu, dalam perancangan tahunan, kini mereka menjangkakan untuk meliputi lebih banyak kawasan pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang. Sekiranya anda merupakan seorang yang gemar untuk berjalan, maka P1 WiMax bukanlah pilihan yang sesuai untuk masa kini.

Kelajuan

Oleh kerana kedua-dua penyedia ini menggunakan frekuensi yang berlainan, ianya tidaklah wajar untuk dibandingkan kelajuan mereka berdua (Celcom Broadband menggunakan rangkaian 3G, manakala P1 WiMax menggunakan 4G). Walaubagaimanapun, kadar kelajuan yang disediakan oleh kedua-dua pihak ini adalah berdasarkan kepada lokasi tempat anda dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, melalui penggunaan saya di kawasan Rawang, ianya didapati, Celcom Broadband berfungsi dengan lebih pantas buat masa ini. Mungkin kerana rumah saya berjarak lebih kurang 50 meter daripada kawasan liputan P1 WiMax.

Melalui pakej paling asas, Celcom Broadband menyediakan kelajuan sehingga 384kbps pada kadar RM68, manakala P1 WiMax menyediakan kelajuan sehingga 400kbps pada kadar RM49 sebulan. Namun begitu, kedua-dua penyedia memberikan kelajuan yang lebih pantas daripada apa yang dijanjikan mengikut masa dan lokasi ianya digunakan.

Had Penggunaan

Kedua-dua penyedia mengenakan had penggunaan untuk pakej mereka. Pakej paling asas oleh kedua-dua penyedia ini mengenakan had penggunaan sebanyak 5Gb sebulan. Sekiranya anda melebihi had penggunaan, kadar kelajuan anda akan disekat. Namun begitu, anda masih dapat melayari web dan internet.


TIPS & ULASAN