Ingatkah lagi anda dengan Google Latitude yang dilancarkan oleh Google pada bulan Februari tahun lepas? Kini, ianya dikatakan yang mana servis tersebut mempunyai lebih kurang 3 juta pengguna aktif, dan lebih kurang 8 juta pengguna berdaftar seluruh dunia.
Menariknya, walaupun tiada sebarang berita berkenaan dengannya untuk suatu masa yang lama, ianya dikatakan yang mana Google Latitude mengalami peningkatan pengguna hampir 30% setiap bulan pada bulan ini, dan hampir 10% pengguna Android menggunakan Latitude secara aktif.
Selain daripada Android, Latitude juga digunakan dengan aktif oleh pengguna BlackBerry. Latitude masih tidak disokong pada iPhone memandangkan Latitude memerlukan pengguna untuk menjalankan aplikasi secara sebalik tabir, dan iPhone masih tida menyokong fungsi tersebut sehingga kini. Namun begitu, iPhone OS 4.0 kelak akan menyokong fungsi tersebut, dan mungkin akan muncul suatu aplikasi khas untuk Google Latitude bagi pengguna iPhone.
Pada masa yang sama, Google juga dikatakan akan memperkenalkan suatu fungsi seperti Check-In yang terdapat pada FourSquare, selain mungkin juga akan memperkenalkan Sejarah Lokasi menarik yang pernah kita singgah.
Kini, fungsi lokasi mendapat perhatian ramai, apabila beberapa laman terkemuka seperti Twitter mengintegrasikannya, dan kehadiran FourSquare sedikit sebanyak telah mengubah lanskap penggunaan data lokasi. Facebook juga dikatakan akan mengintegrasikan fungsi lokasi pada laman mereka selewatnya penghujung bulan ini.