Cari @ Amanz

Seperti umum ketahui, perkomputeran awan makin meningkat popularitinya pada masa kini, dan mengambil kesempatan tersebut, kini, Digide memperkenalkan storan maya mereka yang tersendiri dengan nama Gumuu.


Halaman Utama Gumuu

Buat masa ini, Gumuu masih lagi pada peringkat pembangunan (Alpha). Namun begitu, para pengguna sudah boleh mendaftar dan mengujinya sendiri. Melalui laman Gumuu, para pengguna boleh memuat-naik dan berkongsi fail mereka bersama yang lain, ataupun melabelkan sebagai peribadi untuk diakses oleh mereka atau rakan mereka yang terpilih sahaja.


Panel Memuat-Naik Fail Di Gumuu

Setiap fail yang dilabelkan sebagai umum boleh diakses oleh sesiapa sahaja, selain diperlihatkan melalui enjin carian terbina laman tersebut. Menariknya, laman Gumuu mengguna-pakai secara penuh fungsi Ajax dan sebagainya, menjadikan laman tersebut boleh diakses secara lebih interaktif.

Buat masa ini, Gumuu membolehkan para pengguna memuat-naik pelbagai jenis fail yang terdiri daripada video, audio, gambar dan juga dokumen. Namun begitu, beberapa fail lain seperti fail Photoshop dan sebagainya masih lagi belum disokong oleh laman Gumuu.

Panel untuk pengurusan fail juga tidak diberikan navigasi sepenuhnya pada laman Gumuu buat masa ini. Namun begitu, memandangkan ianya masih lagi pada peringkat pembangunan, dan pihak pembangun disebalik Gumuu sedang mengumpul maklumbalas berkaitan servis mereka ini, ianya mungkinlah perkara biasa.


Video Pada Gumuu

Gumuu mungkin akan menjadi lebih interaktif sekiranya terdapat juga bahagian untuk memuat-turun fail daripada laman mereka secara terus. Sebagai contoh, kini fail *PDF yang dimuat-naik dipaparkan semula dalam bentuk imej dan sukar untuk dibuat untuk simpanan.


Fail PDF Pada Gumuu

Mungkin banyak lagi fungsi baru akan diperlihatkan oleh pembangun Gumuu seperti aplikasi desktop dan sebagainya pada peringkat akhir nanti. Sementara itu, jom mencuba Gumuu dan berikan maklumbalas anda berkaitan dengan servis tersebut di ruangan komen dibawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd