Friendster “Baru” Bakal Mengutamakan Permainan

Friendster “Baru” Bakal Mengutamakan Permainan

Diterbitkan pada Ogos 18, 2010 oleh .

Setelah tertanya-tanya mengenai strategi yang disediakan oleh MOL Global untuk Friendster, kini ianya mula kelihatan, apabila kini mereka sedang membangunkan Friendster sebagai sebuah laman sosial permainan di bawah suatu projek yang dinamakan Project Neutron.

Sebelum ini, laman sosial yang pertama didunia yang dilancarkan pada tahun 2003 dan mencapai sehingga 115 juta pengguna itu mula kehilangan para penggunanya, apabila ramai yang beralih ke Facebook. Selain daripada itu, kesemua hak cipta miliknya juga telah dijual kepada Facebook.

Kini, mereka beralih strategi, dengan mengubah platform sosial mereka kepada sebuah platform permainan, dimana pada masa yang sama, para pengguna boleh membeli peralatan maya, permainan, dan aplikasi secara dalam talian dengan mudah melalui MOL. MOL juga menyediakan platform pembayaran untuk Facebook, sekaligus memudahkan pembayaran dilakukan seantero web dengan lebih mudah.

Perubahan strategi Friendster ini juga dilihat sebagai mengelak daripada menjadi pesaing kepada Facebook, selain menumpukan perhatian kepada beberapa perkara yang menjadi minat ramai pengguna akhir-akhir ini.

Selain daripada Friendster, Google juga dalam perancangan untuk memperkenalkan laman sosial mereka yang tersendiri yang mana mengutamakan permainan sosial dalam pembangunan mereka.

Pembangunan Friendster yang serba baru ini dijangka akan mengambil masa antara tiga hingga enam bulan, dan dijangka akan menemui para pengguna pada tahun hadapan. Sama-sama kita nantikannya.


TIPS & ULASAN