Sebelum ini, kita sudah dapat melihat salah satu video yang memperlihatkan Streaming Search pada Google. Menariknya, kini fungsi tersebut sudah boleh digunakan pada Google, dimana anda tidak lagi perlu menekan butang Enter, dan dinamakan oleh Google sebagai Google Instant.
Google Instant
Melalui Instant Search ini, para pengguna boleh melihat keputusan carian sebaik sahaja anda mula menaip. Daripada laman Google.com, sebaik sahaja anda mula menaip, anda akan mula diperlihatkan dengan hasil carian sebaik sahaja anda menaip huruf pertama pada kotak carian.
Walaupun ianya menjadikan sesuatu carian itu lebih pantas, dan menjimatkan masa kita untuk menekan bebutang Enter, ianya masih lagi tidak memperlihatkan hasil carian yang berkaitan dan relevan untuk hasil carian berbahasa Melayu, dan lebih mengutamakan hasil carian berbahasa English.
Namun begitu, perkara ini mungkin berubah dari masa ke semasa, memandangkan Google Malaysia masih lagi belum diintegrasikan dengan fungsi ini. Buat masa ini, Google Instant hanya diperkenalkan kepada para pengguna yang telah log masuk ke akaun Google sahaja, dan dijangka akan diperkenalkan kepada semua secara berfasa tidak lama lagi.