Cari @ Amanz

Friendster hari ini secara rasminya telah pun mengumumkan pelancaran portal sosial untuk muzik dan juga permainan sosial, sekaligus menumpukan pasarannya di Asia. Sebelum ini, Friendster telah dibeli oleh MOL Global pada bulan Disember yang lepas, selain melalui beberapa perubahan, dari segi antaramuka sehingga ke konsep laman sosial tersebut.


Antaramuka Friendster Music

Melalui Friendster Music, Friendster ingin menumpukan perhatian kepada muzik indie yang kian meningkat di rantau Asia, sekaligus memudahkan penemuan lagu dan muzik oleh para penggunanya. Melalui portal sosial muzik itu, Friendster bakal menyediakan pelbagai informasi termasuk berita berkaitan dengan industri, kemaskini berkaitan dengan konsert serta memaparkan muzik-muzik bebas di rantau Asia.

Buat masa ini, Friendster Music adalah dalam peringkat beta dan hanya boleh diakses oleh para pengguna Malaysia. Pelancaran di Filipina dan juga Singapura akan dilakukan dalam beberapa bulan lagi.

Selain daripada itu, sebelum ini, Friendster telah pun memperkenalkan Friendster Games yang mana menumpukan perhatian kepada permainan sosial. Friendster juga kini menumpukan kepada visi dan misi yang baru setelah menjual hakcipta dan paten rangkaian sosial milik mereka kepada Facebook sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd