Ingatkah lagi anda dengan Google Chrome Frame yang membolehkan para pengguna Internet Explorer 6, 7, dan 8 menggunakan fungsi HTML5 dengan mudah? Menariknya, kini ianya telah melepasi versi beta, dan versi stabilnya kini sedia dimuat-turun oleh semua pengguna.
Melalui Chrome Frame, ianya membolehkan para pembangun aplikasi web memberikan pilihan mudah kepada para pengguna mereka dan tidak memerlukan mereka mengubah pelayar web mereka, dan hanya perlu memasang sebuah plugin ringkas sahaja.
Menariknya, sama seperti Google Chrome, Chrome Frame juga mengguna-pakai fungsi kemaskini automatik, sekaligus, sekiranya anda sedia menggunakan Chrome Frame beta, anda akan dikemaskini kepada versi stabil secara automatik, dan begitu juga dengan kemaskini yang akan datang.
Melalui versi stabil pertama ini juga, Chrome Frame membawakan kepantasan lebih 3 kali ganda berbanding sebelumnya pada Windows Vista dan juga Windows 7. Selain daripada itu, pelbagai konflik bersama aplikasi pihak ketiga yang lain telah pun diperbaiki pada versi stabil ini.
Bagi para pengguna yang berminat, anda boleh memuat-turun Google Chrome Frame dan memasangnya pada pelayar web yang tidak menyokong HTML5, sekaligus membolehkan anda turut sama menikmati pelbagai keajaiban yang dibawakan oleh teknologi yang baru ini.