Ingatkah lagi berkenaan dengan projek RockMelt yang pernah diperkatakan suatu masa dahulu? Kini setelah lebih setahun, pelayar web sosial tersebut akhirnya mula memperlihatkan yang mereka akan siap, dan kini para pengguna sudah boleh mendaftarkan diri untuk menguji versi beta daripadanya dalam masa terdekat ini, selain mereka juga telah memperlihatkan video khas mengenai pelayar web mereka, RockMelt.
Antaramuka RockMelt
Seperti Flock, RockMelt juga menggunakan Chromium sebagai asas untuk membangunkan pelayar webnya, sekaligus membawakan antaramuka yang lebih kurang sama seperti Chrome, dan pelbagai fungsi menarik padanya turut didatangkan bersama. Namun begitu, memandangkan ianya dipanggil sebagai pelayar sosial, ianya turut mengintegrasikan fungsi sosial, dimana Facebook diintegrasikan disebelah kiri pelayar web, membolehkan anda bersembang dan melihat kemaskini status mereka dalam masa nyata, serta rakan Twitter dan RSS diintegrasikan di sebelah kanan.
Selain daripada fungsi sosial, ianya juga membolehkan para pengguna membuat carian dengan lebih mudah dan menarik lagi secara terus daripada pelayar web mereka. Buat masa ini, ianya didatangkan untuk Mac dan PC dalam versi beta terhad. Kami telah mendaftarkan diri untuknya, dan mungkin akan membuat ulasan penuh berkaitan dengannya selepas kami mengujinya. Anda juga boleh mendaftarkan diri untuk mengujinya pada laman RockMelt.com.