Cari @ Amanz

McAfee, antara penyedia aplikasi sekuriti terkemuka, kini telah pun mengeluarkan ramalan sekuriti untuk tahun 2011 dan ramalan tersebut menfokuskan kepada beberapa perkara, termasuk serangan terhadap laman geolokasi seperti FourSquare dan Gowalla, laman sosial, laman peringkas URL dan juga perantian iPhone dan Android.

Pada masa yang sama, McAfee turut meramalkan yang mana serangan berunsurkan politik akan meningkat, dan banyak lagi kumpulan akan mengulangi dan mencontohi WikiLeaks. Ramalan ini dibuat olehMcAfee berdasarkan kepada peningkatan ketara dalam penggunaaan laman sosial, perantian telefon pintar serta penggunaan teknologi geolokasi yang turut diintegrasikan pada laman popular seperti Facebook dan Twitter.

McAfee turut mengatakan yang mana laman sosial seperti FaceBook dan Twitter mungkin akan berdepan dengan pelbagai serangan disebabkan oleh kebolehan laman sosial tersebut dalam menyampaikan komunikasi dengan lebih pantas, serta akan berdepan dengan serangan yang menggunakan khidmat pemendek URL. Penggunaan pemendek URL dilihat mampu menjadikan serangan itu seolah-olah tidak kelihatan dan samar-samar bagi pengguna biasa. Sebelum ini, McAfee sendiri telah melancarkan khidmat peringkas URL mereka yang diperkatakan lebih selamat menggunakan nama domain MCAf.ee.

Khidmat geolokasi seperti FourSquare, Gowalla dan Facebook Places juga dijangka akan berdepan dengan pelbagai siri serangan kerana ianya mampu memerhatikan siapakah yang berada di atas talian secara masa nyata dan di mana mereka berada, serta apa yang mereka kongsikan bersama pengguna atas talian. Kini, pelbagai pelayar web dan laman telah mengintegrasikan fungsi geolokasi, dan ianya diperkatakan yang mana perkara ini mungkin diambil peluang untuk menjadi serangan oleh pihak-pihak tak bertanggung-jawab.

Perantian telefon pintar turut diperkatakan akan menjadi sasaran kerana kepenggunaan dan keterdapatan yang meluas di pasaran dan juga menjadi pilihan buat pengguna-pengguna korporat, ia merupakan satu pilihan yang baik buat penyerang bagi menyerang perantian berkenaan bagi mendapatkan dokumen sulit dan sebagainya yang tersimpan di dalam perantian berkenaan.

Selain itu, turut diramalkan juga oleh pihak McAfee ialah serangan botnet yang bakal meningkat dan juga serangan virus serta serangan pada Mac OSX untuk tahun 2011 akan datang.

Nampaknya, tahun 2011 akan menjadi antara tahun yang berbahaya jikalau dilihat dari segi sekuriti dan keselamatan. Namun begitu, mungkin banyak aplikasi keselamatan dan sekuriti telah mengambil berat perkara ini, dan telah bersedia dengan kemaskini masing-masing dalam menyediakan dunia internet yang lebih selamat lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd