Cari @ Amanz

Sepanjang tahun 2010 kita dapat melihat pelbagai inovasi dan teknologi samaada dari dunia perkomputeran sehinggalah ke dunia web, yang mana pelbagai perkara menarik dan kurang menarik kita dapat lihat. Di sini, kami menyediakan liputan ringkas daripada kami untuk ulasan teknologi sepanjang tahun 2010.

iPad dan Permulaan Dunia Tablet

Tahun 2010 telah dimulakan dengan pengenalan iPad daripada Apple yang mana serba sebanyak telah mengubah dunia perantian seluruh dunia. Walaupun, MIMOS pernah terlebih dahulu memperkenalkan tablet mereka, MakCik PC yang kemudiannya menjadi Idola, namun disebabkan tidak menjadikannya sebagai komersial, telah menenggelamkan nama mereka.

Sepanjang tahun ini juga, kita dapat lihat pelbagai pembangun perantian berlumba-lumba dalam memperkenalkan perantian mereka berupa tablet. Antara yang menjadi sebutan ramai sebagai pesaing utama iPad adalah Samsung Galaxy Tab yang mana menggunakan Android untuk beroperasi. Beberapa tablet juga turut diperkenalkan di Malaysia, termasuk yang terkini Huawei IDEOS S7 dari Maxis.

Laman Sosial Berkembang Dengan Pesat


Laman sosial, terutamanya Facebook menjadi perhatian utama semua pihak pada tahun ini, dimana kini ianya sudah melangkaui lebih 500 juta pengguna di seluruh dunia, selain di Malaysia sahaja penggunannya adalah antara 8 hingga 12 juta orang pengguna. Facebook turut sama telah memperkenalkan pelbagai fungsi baru pada tahun ini, bermula daripada pengenalan pelbagai perubahan antaramuka laman mereka secara berperingkat, sehinggalah kepada kaedah permesejan baru oleh mereka. Sebuah filem khas, The Social Network juga turut ditayangkan pada tahun ini yang mengambil kisah asal usul Facebook, selain menyaksikan Facebook kini menduduki tangga ke-3 sebagai laman paling popular di dunia.

Selain daripada Facebook, Twitter turut menjadi kian popular, dimana lebih ramai orang ternama dan selebriti mula menggunakannya secara serius untuk berhubung dan berkomunikasi bersama yang lain. Twitter telah memperkenalkan perubahan antaramuka yang drastik pada laman mereka, sekaligus menjadikannya lebih menarik dengan pelbagai fungsi baru yang diperkenalkan padanya.

Selain daripada Facebook dan Twitter, kita juga dapat melihat perkembangan Friendster yang telah menukar fokus mereka kepada permainan dan muzik, selain MySpace yang mengintegrasikan Facebook Connect pada laman mereka. Google turut cuba memasuki arena melalui beberapa produk seperti Google Buzz, namun tidak begitu berjaya, dan kini dikatakan sedang membangunkan Google +1 yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

Berkongsi Lokasi Melalui Geolokasi

Fungsi geolokasi telah menjadi suatu fenomena yang hangat, dimana FourSquare telah menjadi salah satu laman sosial yang amat popular sekali pada tahun ini, termasuk telah memperkenalkan beberapa fungsi baru termasuk perkongsian gambar dan kebolehan meninggalkan komen pada daftar-masuk rakan-rakan mereka disesuatu lokasi. Selain daripada FourSquare, pesaing terdekatnya Gowalla turut sama mendapat perhatian ramai.

Facebook dan Twitter masing-masing tidak ketinggalan dalam mengintegrasikan fungsi tersebut pada laman mereka, selain pelayar web moden yang turut sama menyokong fungsi geolokasi, membolehkan para pengguna berkongsi lokasi mereka dengan lebih mudah bersama yang lain.

Pelayar Web


Pelayar web telah berevolusi sepenuhnya sepanjang tahun ini. Salah satu perkara utama dalam dunia pelayar web adalah dimana Microsoft telah memperkenalkan Internet Explorer 9 Beta, yang mana membawakan pelbagai perubahan drastik, selain sokongan HTML5 dan CSS3. Selain daripada itu, Opera turut telah memperkenalkan kemaskini terkini mereka Opera 11 membawakan sokongan extension, Mozilla pula yang sedang dalam fasa terakhir pembangunan pelayar web Firefox 4.0. Google pula terus berjaya mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri pelayar web melalui Google Chrome, yang mana pembangunannya telah dipercepatkan, dan telah mencapai versi 10.

Selain daripada pelayar web biasa, kita juga dapat lihat pembangunan pelayar web berasaskan sosial, dimana Flock yang telah sekian lama memperkenalkan tradisi tersebut mendapat salah satu pesaing terdekat mereka, iaitu RockMelt. Kedua-duanya kini mula menggunakan enjin Chromium yang digunakan pada Google Chrome dalam pembangunannya.

Gajet dan Perantian Mudah Alih

Seperti tahun-tahun lalu, salah satu produk yang diperkatakan ramai adalah iPhone. Pada tahun ini, Apple telah melancarkan iPhone 4 yang mana membawakan fungsi panggilan video, serta beberapa fungsi baru yang lain. iPhone 4 juga menjadi salah satu produk yang dikritik hebat disebabkan oleh masalah antenna padanya, yang membuatkan talian hilang sekiranya digenggam dengan cara yang salah.

Selain daripada iPhone, pelbagai perantian yang menggunakan sistem Android juga telah diperkenalkan, dan paling terkini adalah Nexus S, yang membawakan teknologi NFC dan juga kamera hadapan. Nokia pula telah memperkenalkan sebilangan besar telefon mudah-alih mereka sepanjang tahun ini, dan N8 adalah salah satu daripadanya. Kini, kebanyakkan pembangun perantian mula memberikan perhatian kepada skrin sentuh, dan kebolehan dan sokongan rangkaian sosial padanya, yang mana menjadi salah satu minat para pengguna seluruh dunia pada masa kini.

Sistem Operasi Mudah Alih Terus Berkembang

Antara sistem operasi popular seperti sedia maklum adalah iOS yang digunakan pada iPad, dan iPhone, serta Android yang digunakan oleh sebilangan besar pengeluar di luar sana. Kedua-dua sistem operasi ini telah berkembang dengan pesat sepanjang tahun, dimana terkini, Android telah melancarkan Android 2.3 Gingebread. Pembangun BlackBerry, RIM juga turut sama telah memperkenalkan BlackBerry OS 6.0 pada tahun ini, yang mana tampak lebih menarik dengan prestasti dan fungsi yang amat mengagumkan sekali.

Microsoft tidak ketinggalan, dimana mereka telah memperkenalkan Windows Phone 7, mengantikan Windows Mobile sebelum ini. Windows Phone 7 turut diperkatakan ramai sepanjang tahun ini, dengan pelbagai perantian yang menggunakannya telah pun berada di pasaran. Selain daripada itu, HP telah mengambil-alih Palm, dan kini menjadi pembangun disebalik Palm OS.

Aplikasi Mudah Alih Kian Popular

Dengan perkembangan sistem operasi mudah-alih, para pembangun aplikasi dan perisian turut memberikan perhatian serius kepadanya, dimana sepanjang tahun, kita dapat melihat pelbagai pembangun mula membangunkan dan memperkenalkan pelbagai aplikasi untuk pelbagai platform mudah-alih diluar sana.

Sehingga kini, terdapat lebih 300,000 aplikasi untuk pengguna iOS, lebih 200,000 untuk pengguna Android, dan Windows Phone yang baru sahaja dilancarkan sudah pun mempunyai lebih 5000 aplikasi. Nokia turut memberikan perhatian serius kepadanya melalui Ovi Store, selain memudahkan para pengguna membangunkan aplikasi mereka dengan mudah.

Salah satu aplikasi yang menjadi fenomena besar adalah Angry Birds yang mana boleh didapati pada pelbagai platform, dan menjadi salah satu permainan yang paling popular sekali pada platform mudah-alih, yang turut diperkatakan akan diperkenalkan untuk pengguna PC dan mungkin beberapa konsol permainan dalam masa terdekat.

HTML5

Teknologi Flash dan Silverlight mula digantikan dengan HTML5 yang mana lebih mesra pada pelbagai perantian dan tidak memerlukan sebarang plugin pihak ketiga untuk beroperasi. Pelbagai pelayar web sudah pun mula menyokong teknologi HTML5 ini, memudahkan ianya diaplikasikan pada pembangunan web oleh semua pihak. Pada masa yang sama, Google turut mengaplikasikan HTML5 pada doodle mereka bersempena dengan pelbagai peristiwa, serta WordPress yang turut sama memperkenalkan tema khas dalam bentuk HTML5. WeddingKami yang menyediakan kad kahwin dalam bentuk Flash juga turut sama kini mengutamakan penggunaan HTML5.

Gergasi Internet Mula Kecundang

Seperti sedia maklum, kini Facebook mula mengorak langkah menjadi salah satu gergasi internet generasi baru. Yahoo! yang dulunya amat terkenal, kini jatuh ketangga ke-empat, dibelakang Facebook, selain banyak laman-laman dibawah mereka yang ditutup dan dihentikan. Google yang sekian lama memegang takhta di dunia internet turut sama terasa tempias Facebook, dimana mereka turut sama mula menumpukan perhatian kepada pembangunan laman sosial. Beberapa laman lain turut meningkat naik nama mereka, termasuk Skype dan Groupon yang kian hangat diperkatakan.

Privasi dan privasi

Sepanjang tahun ini, privasi turut menjadi salah satu topik hangat, dan ianya sering dikaitkan dengan Facebook. Untuk mengatasinya, pihak Facebook sendiri telah memberikan lebih kawalan kepada privasi, memudahkan para pengguna berkongsi antara satu sama lain. Selain daripada itu, kemunculan WikiLeaks yang memperlihatkan pelbagai dokumen sulit milik duta Amerika Syarikat diseluruh dunia juga turut menjadi topik hangat pada penghujung tahun 2010.
Wikileaks, Privasi, Perkomputeran Awan

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd