Cari @ Amanz

Selain daripada industri teknologi dan komputer yang berkembang sepanjang tahun 2010, Malaysia juga menerima tempiasnya, memperlihatkan perkembangan yang menarik sepanjang tahun 2010. Di sini, kami menyediakan laporan ringkas berkaitan perkembangan dunia teknologi Malaysia sepanjang 2010.

Budaya Startup Semakin Meningkat

Sejak tahun lalu, budaya startup tempatan telah mula meningkat dengan kemunculan KreativeThemes dan MentariWorks. Namun begitu, tahun ini, kita dapat melihat lebih banyak syarikat berasaskan web yang tumbuh, selain kerajaan sendiri menyediakan dana dan menyokong pembangunan web dan syarikat IT tempatan. Selain menyediakan pelbagai acara dan anugerah, pelbagai sokongan lain turut disediakan kerajaan mahupun pihak swasta.

Selain daripada itu, menariknya beberapa perkara menarik di Malaysia sepanjang tahun ini melibatkan syarikat IT, dimana Facebook mengambil-alih salah satu syarikat Malaysia, sekaligus mendapatkan pangkalan operasi mereka di Malaysia. YouthAsia yang terkenal dengan YouthSays terus membangun, dan memperkenalkan Groupsmore, selain Digide memperkenalkan laman perkongsian fail, Gumuu. Nuffnang pula terus bergerak maju dengan membuka pejabat mereka di China dan melancarkan NomNomMedia. JomSocial terus membangun dan memperkenalkan perkhidmatan baru mereka SookaChat, Kureno melancarkan Things, manakala menutup perkhidmatan JomTwit, dan Terato yang terus cemerlang.

Perniagaan Internet Terus Mendapat Perhatian

Perniagaan berasaskan internet terus mendapat perhatian seluruh pihak, dimana lebih ramai mula membuka kedai internet, samaada melalui penggunaan hosting sendiri, Blogger mahupun Facebook sendiri. Selain daripada itu, laman-laman jual beli juga mula dibangunkan oleh para pembangun tempatan, diantaranya Habaq.my dan Mau.my.

Laman-laman popular sedia ada, Lelong.com.my dan Mudah.my terus membangun dan peningkatan kes penipuan juga sedikit membimbangkan.

Laman Sosial Makin Popular

Penggunaan laman sosial diantara pengguna tempatan terus meningkat kesedarannya, dimana beberapa laporan mengatakan yang mana terdapatnya antara 8 hingga 12 juta pengguna Facebook aktif di Malaysia, selain pengguna Twitter Malaysia yang telah pun melangkaui angka 1 juta. Sepanjang tahun ini juga, pelbagai aktiviti sosial yang telah diadakan, termasuk Twtup terbesar di Malaysia, iaitu #Oct23rdTwtup yang mana memperlihatkan lencana Super Swarm pada FourSquare didapatkan dengan kehadiran lebih 250 orang pengguna. Selain daripada itu, lencana Super Duper Swarm dan Epic Swarm juga berjaya dibuka pada perlawanan AFF Suzuki yang diadakan di Bukit Jalil. Aktiviti bulanan khas yang membincangkan mengenai rangkaian sosial dan perhubungan sosial turut diadakan oleh Social Media Club Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Walaubagaimanapun, beberapa kejadian kurang menarik turut berlaku, dimana berlaku pergaduhan antara Indonesia dan Malaysia pada laman Twitter ketika perlawanan AFF Suzuki 2010, selain topik #YoRais yang menjadi salah satu topik terhangat di Twitter. Pelbagai media massa juga mula mengambil berat kemunculan Twitter, selain menjadi salah satu sumber berita semasa, memandangkan lebih ramai ahli politik, perniagaan dan artis menyertainya.

Blog, blog, dan blog

Sepanjang tahun ini, lebih banyak blog muncul di arena siber tempatan, yang mana turut memperlihatkan beberapa laman blog terkemuka turut tersenarai pada index laman web popular di Malaysia. Beberapa penulis blog juga mula menulis secara serius, selain memperlihatkan beberapa blog yang mendaftarkan diri pada SSM, serta menubuhkan rangkaian blog tersendiri.

Antara rangkaian blog terkemuka di Malaysia adalah Driven Media yang memiliki PaulTan.org dan OhBulan.com, OhMedia yang mana membangunkan laman OhTidak, Nara Media Communication yang membangunkan laman BeautifulNara dan AbangNara.

Selain daripada itu, laman-laman berbentuk ping dan aggregator juga turut mendapat perhatian ramai pengguna dan penulis blog, memandangkan mereka dapat berkongsi artikel mereka dengan mudah melaluinya. Antara laman-laman ping yang popular di arena tempatan adalah Project Petaling Street, Blogged.my, GengBlogger.com, FeedMalaya.com, dan Apesal.com.

Syarikat-syarikat besar juga mula mengambil-berat kehadiran penulis blog, dimana kini para penulis blog turut mendapat layanan yang lebih kurang serupa seperti pihak media yang lain. Maxis mengorak langkah kehadapan dengan memperkenalkan program #Maxis10, yang mana turut diikuti oleh Celcom dan Digi, yang mana mengupah para penulis blog dalam mempromosikan pakej baru mereka.

Internet dan 4G

Salah satu usaha kerajaan yang perlu dicapai pada tahun ini adalah kadar tembusan internet yang melangkaui angka 50%, dan menariknya angka tersebut telah berjaya dicapai lebih awal lagi daripada tarikh yang disasarkan. Kawasan liputan internet juga terus berkembang, selain Telekom Malaysia berjaya memperkenalkan internet berkelajuan tinggi mereka, UniFi, selain Maxis dengan Maxis HSBB dan juga Time dotCom dengan servis internet mereka.

Pada masa yang sama, syarikat penyedia internet sedia ada mula mengembangkan teknologi mereka dengan menyediakan akses internet yang lebih pantas, beserta P1 WiMAX mendapat pesaing mereka yang baru, iaitu anak syarikat YTL, Yes 4G. Maxis, Celcom, DiGi dan UMobile turut sama membangunkan infrastruktur masing-masing, dimana menyokong sehingga kelajuan lebih 42Mbps.

Gajet dan Perantian IT Makin Popular

Sepanjang tahun ini, pelbagai perantian terkini turut dibawa masuk ke negara kita melalui kerjasama antara penyedia telekomunkasi dengan syarikat luar, membolehkan para pengguna mendapat akses kepada gajet dan perantian terkini dengan lebih pantas. Perantian yang menggunakan Android dan Windows Phone 7 berjaya dibawa masuk ke Malaysia dengan lebih pantas, selain Nexus S yang sudah pun berada di Malaysia. Para pengguna Malaysia juga tidak ketinggalan dengan tawaran iPad yang dibawa masuk secara terus oleh Apple ke Malaysia, selain tablet-tablet lain, termasuk Samsung Galaxy S, Huawei IDEOS S7 dan banyak lagi.

Kawalan Internet

Salah satu perkara yang popular dan diperkatakan sepanjang tahun adalah berkenaan dengan kawalan internet, namun begitu masih tiada sebarang perkara dan tindakan yang diambil sehingga kini buat masa ini, memandangkan ianya berlaku disebabkan oleh kesilapan pemahaman pemerintah, serta kesilapan daripada pihak pengguna yang turut menyalah-gunakan perkhidmatan internet untuk tujuan yang tidak betul.

Selain daripada itu, negara juga gempar seketika apabila kedengaran yang mana perantian BlackBerry mungkin akan diharamkan. Namun begitu, melalui perbincangan antara para pemerintah dan penyedia servis, segalanya dapat dikawal, dan tidak diharamkan buat masa ini. Pada masa yang sama, beberapa akta baru sedang diperbincangkan, termasuk Akta Liabiliti ISP untuk kawalan muat-turun yang tidak sah, selain meminta para penulis dan pengguna internet bertanggungjawab ke atas apa yang dikongsikan pada laman internet.

Belanjawan dan IT

Belanjawan 2011
Melalui belanjawan 2011 yang dibentangkan pada pertengahan bulan Oktober, ianya memperlihatkan yang mana kerajaan turut memberikan perhatian yang serius dalam perkembangan IT di tanah-air. Selain daripada rebat cukai yang diberikan untuk langganan internet, kerajaan juga turut menyediakan dana untuk melahirkan lebih dari 500 usahawan ICT, selain kandungan ICT yang mula diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Kerajaan juga turut sama mengumumkan yang mana cukai jualan telefon bimbit di Malaysia yang akan dimansuhkan.

Sumber Terbuka Makin Berkembang

Menariknya, penggunaan perisian dan aplikasi sumber terbuka di kalangan rakyat Malaysia juga terus berkembang sepanjang tahun ini. Pelbagai acara menarik yang mempromosikan sumber terbuka diadakan sepanjang tahun, selain beberapa distro Linux tempatan turut diperkenalkan dan giat dibangunkan, termasuk simpleLinux, Oshirix, MY1OS, dan banyak lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd