Cari @ Amanz

Setelah melancarkan perkhidmatan WiMAX mereka secara komersial pada bulan Ogos 2008, kini P1 telah pun mempunyai lebih daripada 280,000 orang pelanggan, sekaligus menjadi penyedia WiMAX terbesar di Malaysia buat masa ini. Buat masa ini, P1 mempunyai lebih kurang 1,000 pusat pemancar, yang mana menawarkan liputan antara 40% hingga 45%.

Sebelum ini, pada tahun lepas, P1 telah bekerjasama bersama dengan SK Telecom daripada Korea, dimana melaluinya SK Telecom telah melabur USD$100 juta untuk pegangan sebanyak 25.8% pada P1. Ianya sekaligus membolehkan P1 dan SK Telecom berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pembangunan rangkaian di Malaysia.

Sehingga suku tahun ke-empat 2010, P1 mempunyai lebih kurang 35% pelanggan mudah-alih, dan juga 65% pelanggan jalur-lebar tetap. Secara puratanya, para pelanggan P1 menggunakan lebih kurang 10GB data sebulan, dimana 60% daripada pelanggan gemar menggunakan aplikasi yang diperkaya, seperti YouTube dan sebagainya.

Sepanjang tahun ini, P1 dijangka akan meningkatkan pusat pemancar kepada lebih 1,600 pusat, selain dijangka akan memulakan ujian teknologi LTE pada suku tahun pertama tahun ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd