Cari @ Amanz

Setelah beberapa usaha Google untuk menyertai rangkaian sosial seperti gagal sebelum ini, kini Google masih tidak berputus asa. Seperti mana yang diura-urakan sebelum ini, kini Google telah pun memperlihatkan rangkaian sosial mereka yang baru, dikenali dengan nama Google+ (Google Plus).

Buat masa ini, ianya masih lagi belum dilancakan kepada umum, dan hanya baru sahaja memulakan fasa ujian. Mungkin segelintir pengguna boleh menggunakannya, dan mungkin juga sebaliknya.

Secara ringkasnya, melalui Google+, ianya mengabungkan pelbagai perkhidmatan Google pada satu halaman, serta menambah beberapa fungsi untuk memudahkan pengguna menguruskan, dan menikmati fungsi-fungsi sosial padanya, termasuk dengan fungsi notifikasi dan sebagainya.

Jikalau pada Facebook, pengguna diperlihatkan dengan News Feed sebaik sahaja mendaftar masuk ke halamannya, melalui Google+, para pengguna diperlihatkan dengan Stream, dimana melaluinya, para pengguna boleh berkongsi gambar, video dan juga status dengan rakan-rakan dengan mudah. Pengguna juga boleh melihat kemaskini rakan-rakan pada halaman sama, dan mengikuti perkembangan mereka dengan mudah dan pantas.

Ingat lagi Google Circles yang pernah diperkatakan sebelum ini? Melalui Google+, Google membawakan fungsi Circles, yang mana berfungsi untuk membahagikan rakan-rakan dan senarai hubungan anda pada Google+ mengikut kumpulan, yang mana dikenali sebagai Circles. Menariknya adalah para pengguna boleh menambah rakan-rakan kepada sesuatu Circles dengan hanya tarik-dan-lepas sahaja.

Seperti sedia maklum, setiap rangkaian sosial menyokong penggunanya memuat-naik gambar dan video, dan menariknya Google membawanya kepada suatu tahap lebih tinggi, dengan turut sama menyokong fungsi meng-edit gambar, dimana pengguna boleh menambah pelbagai efek pada gambar sebelum memuat-naiknya pada laman sosial tersebut.

Tambahan lagi, Google+ turut sama membawakan sokongan sembang video, salah satu fungsi yang semakin meningkat naik permintaannya akhir-akhir ini. Melalui fungsi panggilan dan sembang video, ianya turut menyokong sembang secara berkumpulan, membolehkan pengguna Google+ bersembang dengan rakan-rakan mereka pada sesuatu kumpulan dengan mudah pada masa yang sama.

Memandangkan ianya produk Google, semestinya versi mudah-alih ataupun lebih tepat lagi, aplikasi Android untuknya bakal diperkenalkan. Mungkin kita boleh menantikan pengumuman Google+ yang diintegrasikan dengan lebih mendalam pada Android Ice Cream Sandwich kelak.

Buat masa ini, ianya masih lagi pada peringkat ujian, dan mungkin akan dilancarkan kepada umum secara berperingkat sepertimana GMail dilancarkan sebelum ini. Para pengguna yang berminat boleh mendapatkan info lanjut berkaitan Google+ daripada halaman rasmi Google, dan mengikuti demo yang disediakan mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd