Selain daripada perjalanan melalui bas, kami juga turut sama menguji talian Maxis menggunakan Maxis Personal WiFi Modem (E5832) melalui KTM Komuter, antara Rawang hingga ke Mid Valley. Amat mendukacitakan kerana ianya gagal berfungsi sepenuhnya dibeberapa lokasi.
Perjalanan dari Rawang ke Mid Valley mengambil-masa lebih kurang 50 minit, dan ianya semestinya bukanlah suatu masalah besar untuk jangka masa bateri modem mudah-alih Maxis E5832. Sepanjang perjalanan, talian Maxis hanya dapat digunakan sepenuhnya daripada Sungai Buloh sehingga ke Mid Valley sahaja, dengan talian terputus-putus antara Rawang sehingga Sungai Buloh.
Pada masa yang sama, prestasi talian antara Rawang sehingga Kepong juga tidak memuaskan, dimana talian putus-putus, selain berubah-ubah dengan perubahan antara 3G ke EDGE dan sebagainya. Perubahan talian ini dapat disaksikan melalui modem Maxis E5832 melalui perubahan warna padanya, daripada Hijau ke Kuning, dan Merah sekali-sekala. (Hijau = 3G, Kuning = GPRS, Merah = Tiada Talian)
Mungkin pihak Maxis perlu mengambil-kira untuk menambah beberapa pemancar sepanjang perjalanan dari Rawang ke Seremban, dan dari Sentul ke Pelabuhan Klang, supaya kelak para pengguna dapat menikmati talian internet mereka sepanjang perjalanan dalam Komuter.