Setelah sekian lama dinantikan oleh para pengguna Windows Phone 7, kini mereka sudah pun boleh mengemaskini Windows Phone 7 mereka dengan kemaskini “NoDo”, yang mana membawakan beberapa perkara baru, terutamanya sokongan untuk Copy/Paste.
Kemaskini NoDo Kini Boleh Dinikmati Para Pengguna Windows Phone [via]
Microsoft kini sedang memperkenalkan kemaskini tersebut secara berfasa kepada seluruh pengguna Windows Phone 7 di seluruh dunia, dan mungkin ianya mengambil sedikit masa untuk diterima oleh semua.
Selain daripada sokongan Copy/Paste, kemaskini “NoDo” juga turut sama membawakan peningkatan prestasi, membolehkan para pengguna menggunakan aplikasi dan permainan dengan lebih pantas lagi. Pencarian pada Marketplace juga dipertingkatkan, membolehkan anda menemui aplikasi dan permainan yang dikehendaki dengan lebih pantas lagi.
Selain daripada itu, Microsoft turut membawakan peningkatan prestasi untuk WiFi, dan penambah-baikkan pada Outlook. Kestabilan aplikasi apabila bertukar daripada kamera kepada perakam video juga dipertingkatkan, selain sokongan sync akaun Facebook ditambah-naik berbanding sebelumnya.
Dengan pelancaran kemaskini “NoDo” ini, semestinya Microsoft sudah pun memulakan pembangunan untuk kemaskini seterusnya untuk Windows Phone, iaitu “Mango” yang mana dijangka akan diperkenalkan pada suku tahun keempat tahun ini.