Dalam artikel sebelum ini, kami telah menyenaraikan penuh nama-nama pemenang untuk Anugerah ICT NEF-Awani 2010 yang berlangsung pada hari ini. Salah satu perkara yang menjadi tanda tanya adalah apakah produk keluaran mereka. Disini, kami menyenaraikan produk dan perkhidmatan keluaran mereka.
Usahawan Tekno Bumiputera Terbaik – Reza Razali
Anugerah Usahawan Tekno Bumiputera Terbaik ini dianugerahkan kepada usahawan tekno berjaya yang berumur dibawah 30 tahun. Ianya telah dimenangi oleh Reza Razali iaitu, orang kuat disebalik Terato Tech Sdn Bhd.
Melalui Terato Tech Sdn Bhd, pelbagai aplikasi mudah-alih menarik yang telah dibina oleh mereka, dan salah satu produk mereka yang turut disenaraikan pada NEF-Awani 2010 adalah enjin SilentMode Publishing untuk iPad, iaitu enjin yang digunakan disebalik majalah AIYO! keluaran mereka sendiri. TeratoTech juga telah melancarkan beberapa aplikasi seperti Malaysia Most Wanted dan sebagainya secara percuma, serta kini dalam pembangunan aplikasi berasaskan lokasi mereka, Undies.my.
Reza Razali telah berkecimpung dengan industri ICT sejak daripada usia 17 tahun lagi, dimana sehingga kini beliau telah memenangi pelbagai anugerah, termasuk anugerah APICTA dan lain-lain. Sebelum ini, Terato Tech turut sama telah merangkul anugerah komunikasi dan mudah-alih terbaik pada MAD TechVentures 2010 yang lepas.
Web : TeratoTech.com Twitter : @RezaRazali / @TeratoTech
Aplikasi Media Baru Bumiputera Terbaik – Lotdotmy Sdn Bhd
Lot.my merupakan salah satu platform e-commerce tempatan yang dibangunkan bertujuan untuk membolehkan para usahawan membangunkan kedai dalam talian mereka dengan mudah sekaligus membolehkan para pembeli melayari laman mereka secara online, dan membuat pembelian melaluinya.
Lot.my telah dilancarkan pada tahun 2010, dan sehingga kini terdapat lebih daripada 6,000 kedai yang aktif menjalankan operasi mereka melalui laman Lot.my.
Web : http://www.lot.my
Produk Perisian Bumiputera Terbaik – Century Software Sdn Bhd
Produk keluaran Century Software yang telah memenangi Anugerah ICT NEF-Awani 2010 adalah Century Financial Government, dimana melaluinya ianya membolehkan pengurusan kewangan dan perakaunan dikendalikan dengan amat mudah sekali.
Century Financial Government, ataupun turut dikenali sebagai CFg merupakan aplikasi berasaskan web, membolehkan anda membuat pelbagai fungsi kewangan, daripada pengurusan aset, sehinggalah kepada membuat belanjawan, dan pengurusan staff dan sebagainya. Sehingga kini, ianya diperkatakan yang mana CFg telah diimplementasikan pada lebih 80 agensi kerajaan, yang mana meliputi lebih daripada 10,000 orang pengguna.
Web : http://www.centurysoftware.com.my
Kandungan dan Aplikasi Mudah-Alih Bumiputera Terbaik – IslamkidsMedia Sdn Bhd
IslamKidsMedia telah pun ditubuhkan pada tahun 2007, yang mana menawarkan salah satu portal dan cara interaktif untuk pembelajaran.
Melalui aplikasi keluaran mereka (kini boleh didapati untuk pengguna iPhone dan iPad), mereka menawarkan cara baru untuk kanak-kanak belajar, yang mana menjadikannya lebih interaktif dan menarik lagi. Selain daripada pasaran Malaysia, baru-baru ini, IslamkidsMedia turut sama telah mula menerima pelbagai tempahan daripada luar negara, termasuk Singapura dan juga Brunei.
Web : http://www.islamkids.my
Syarikat Startup Bumiputera Terbaik – Animonsta Studios Sdn Bhd
Mungkin Animonsta sudah tidak lagi perlu diperkenalkan, apatah lagi bermula dua minggu yang lepas, mereka telah pun mula menayangkan animasi 3D keluaran mereka, BoBoiBoy. BoBoiBoy akan ditayangkan secara bermusim, dimana musim pertama ini akan memperlihatkan 8 episod pertama ditayangkan setiap minggu.
Selepas ini, musim kedua dijangka akan menyusul sekitar bulan Julai kelak. Mungkin juga untuk perancangan jangka masa panjang, sebuah filem khas BoBoiBoy akan dikeluarkan, dan ditayangkan dipanggung wayang seluruh negara, sama seperti apa yang dilakukan oleh Les Copaque melalui animasi Upin dan Ipin mereka.
Web : http://www.animonsta.com
Animasi Kreatif Bumiputera Terbaik – Netcarbon Sdn Bhd
Netcarbon merupakan syarikat disebalik siri animasi Supertots, yang mana telah pun diperkatakan ramai, sejak daripada sebelum ianya dilancarkan kepada umum lagi.
Menariknya mengenai Supertots, adalah dimana ianya telah dibangunkan dan diproduksi menggunakan proses V-CAM (masih menunggu pemberian paten kepada Netcarbon), dimana melalui proses tersebut, ianya membolehkan kumpulan produksi untuk mengoptimasikan penggunaan sumber mereka, dan meningkatkan ke-kompleksan ceritera mereka, dimana pada masa yang sama menjimatkan proses produksi.
Web : http://www.netcarboncorp.com
Syarikat Bumiputera Paling Inovatif – Orea Technologies Sdn Bhd
Orea Technologies merupakan syarikat disebalik beberapa produk, yang mana lebih memfokuskan kepada sekuriti informasi dan keselamatan data digital. Ianya merupakan salah satu perkara penting pada masa kini, memandangkan data seperti IP, imej, video dan sebagainya yang tidak dilindungi amat berbahaya dan mungkin mengakibatkan pelbagai kerugian.
OREA Technologies telah ditubuhkan pada 2005, dan sehingga kini mereka menawarkan lebih 6 produk, yang mana menawarkan perlindungan daripada SMS pada SIM yang dilindungi, data pada cakera keras, dan juga perlindungan emel.
Web : http://www.oreatechnologies.com
Selain daripada ini, Anugerah ICT NEF-Awani 2010 turut sama menyaksikan beberapa pemenang lain yang membawa pulang anugerah, termasuk Telekom Malaysia, Maybank, TonTon dan banyak lagi.