Selain daripada beberapa aplikasi berasaskan geolokasi seperti FourSquare, Gowalla, Koprol, dan Facebook Places, kini sebuah aplikasi seumpamanya, namun versi tempatan telah pun dibangunkan, dengan nama Yezzar. Buat masa ini, hanya aplikasi iPhone dan Android sahaja terdapat, dan aplikasi BlackBerry dijangka menyusul tidak lama lagi.
Yezzar! merupakan salah satu aplikasi berasaskan lokasi menjadikan sesebuah bandar itu lebih mudah untuk dinavigasikan, sekaligus menjadikannya lebih menarik lagi. Dengan daftar-masuk ke sesuatu lokasi, para pengguna boleh berkongsi lokasi dengan rakan-rakan mereka, selain pada masa yang sama mendapatkan mata ganjaran, lencana maya, serta beberapa tawaran menarik yang ditawarkan pada sesuatu lokasi.
Antaramuka Aplikasi iPhone Yezzar!
Selain daripada itu, sekiranya anda merupakan pemilik sesuatu perniagaan, anda juga boleh menghubungi pihak Yezzar! dan menawarkan pelbagai diskaun menarik kepada para pelanggan anda dengan cara lebih interaktif lagi.
Buat masa ini, lokasi-lokasi yang terdapat pada Yezzar masih lagi sedikit, dan ianya dijangka akan meningkat naik dari semasa ke semasa. Bagi para pengguna Android dan iPhone, anda boleh memuat-turunnya dan menggunakannya sekarang, manakala bagi para pengguna lain, anda boleh menggunakan aplikasi berasaskan web Yezzar sementara menunggu aplikasi untuk setiap platform dibangunkan mereka.