Hari ini, secara rasminya Apple telah mengumumkan yang mana iPad 2 akan dilancarkan di Malaysia pada 29 April ini, sekaligus mengesahkan pelbagai ura-ura yang kedengaran selama ini. Pada tarikh yang sama juga lebih 10 negara lain menerima iPad, termasuk negara jiran kita Singapura dan juga Filipina.
Seperti sedia maklum, iPad 2 membawakan rekabentuk serba baru yang mana 33% lebih nipis dan 15% lebih ringan daripada iPad generasi pertama, serta membawakan skrin seluas 9.7-inch yang serupa. iPad 2 juga turut sama membawakan cip pemprosesan dual-core A5 daripada Apple sendiri untuk prestasi dan grafik yang mengagumkan, selain dua kamera, iaitu kamera hadapan VGA untuk FaceTime dan PhotoBooth, serta kamera belakang yang boleh merakam video 720p. Ianya juga masih mengekalkan daya tahan bateri selama lebih 10 jam sama seperti sebelumnya.
Selain daripada itu, seperti mana yang kami laporkan sebelum ini, harga iPad 2 adalah lebih murah berbanding generasi sebelumnya ketika pelancaran dulu. Berikut merupakan harga iPad 2 mengikut variasi masing-masing:
- iPad 2 WiFi – 16GB (RM1499), 32GB (RM1799), 64GB (RM2099).
- iPad 2 WiFi + 3G – 16GB (RM1899), 32GB (RM2199), 64GB (RM2499)
Para pengguna boleh mendapatkannya daripada pelbagai pengedar rasmi Apple bermula daripada hari Jumaat ini.