Cari @ Amanz

Mungkin ramai yang telah ketahui dimana sepanjang penghujung minggu lepas, acara NovaWeekend telah diadakan, dimana beberapa projek baru telah diperkenalkan, dan dilancarkan, dan dijangka akan terus berkembang dibawah platform Nova.

Acara NovaWeekend #0 yang dimulakan sebagai edisi experimentasi sememangnya boleh dianggap berjaya, dengan hampir 6 projek dan aplikasi web baru diperkenalkan kepada umum, yang mana dibangunkan dalam masa kurang 2 hari.

HackBoard

Seperti sedia maklum, salah satu aktiviti yang sering diadakan di acara-acara seperti NovaWeekend, UrekaWeekend dan sebagainya adalah acara hackathon untuk menggalakkan para pembangun membangunkan aplikasi dan sebagainya dengan pantas. Namun ianya mungkin sedikit sukar untuk mengekalkan projek dan aplikasi tersebut selepas acara tersebut. Kini, melalui HackBoard, ianya menyediakan sebuah aplikasi sosial membolehkan para pembangun untuk terus bekerjasama dan mengembangkannya dengan mudah dan pantas bersama-sama.

Passionation

Mungkin ramai yang sudah kenali akan laman KickStarter, yang membolehkan para pengguna untuk mengumpulkan duit sebelum dapat menjalankan projek mereka. Passionation mengikut konsep yang sama, namun berbanding duit, ianya menjadi salah satu platform yang menghubungkan anda dengan rakan-rakan yang mempunyai minat serupa, dan sekaligus membolehkan anda menjalankan projek dengan mudah.

Million Happy Faces

Melalui Million Happy Faces, ianya mempromosikan kegembiraan dengan pelbagai kempen dan sebagainya, dimana ianya mengumpulkan pelbagai gambar-gambar gembira dan bahagia orang ramai pada satu web, selain pada masa yang sama ianya membolehkan para pengguna untuk menghantarkan idea dan sebagainya yang menjadikan orang ramai gembira.

FreeFi

Melalui FreeFi, pembangunnya ingin membawakan salah satu platform inovatif, dimana ianya membolehkan para pengguna berkongsi rangkaian WiFi mereka bersama-sama dengan yang lain dengan mudah dan bebas, berbanding dengan keperluan untuk membina rangkaian WiFi yang mahal dan sebagainya.

Sistem FreeFi juga kelak boleh menjana wang melalui pengiklanan, dan sekaligus mengamalkan konsep berkongsi pendapatan bersama-sama penggunanya dan mereka-mereka yang berkongsi WiFi bersama yang lain.

Bashly

Bashly memperkenalkan satu sistem aduan yang membolehkan para pengguna untuk menghantar aduan dan suara mereka terhadap sesuatu produk dan perkhidmatan. Ianya juga pada masa yang sama mendapatkan pelbagai aduan pengguna daripada pelbagai laman sosial dan menyenaraikannya di sistem mereka, sekaligus membolehkan para pemilik perkhidmatan dan produk tersebut merujuk dan menambah-baik perkhidmatan mereka itu.

CodeMango

Melalui CodeMango, ianya menyediakan sebuah platform khas yang mana menghubungkan para pembangun berpengalaman dengan pembangun dan pengaturcara baru. Ianya juga turut sama menyediakan platform untuk para pelajar tahun akhir untuk memuat-naik projek tahun akhir mereka, sekaligus menerima cadangan ataupun komen maklumbalas daripada mereka-mereka yang lebih berpengalaman.

NovaWeekend #0 ini hanyalah edisi percubaan, dan dijangka lebih banyak aktiviti hackaton seumpamanya akan diadakan dari semasa ke semasa oleh NovaMalaysia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd