Google nampaknya kini ingin memperluaskan lagi penggunaan pelayar web Google Chrome, dimana selain mempromosikan pelayar web Chrome mereka melalui internet, kini sebuah iklan khas telah disediakan oleh Google, dan dijangka akan dimainkan di saluran televisyen Amerika Syarikat tidak lama lagi.
Menurut New York Times, iklan tersebut akan menjadi kempen pengiklanan luar talian terbesar daripada Google, namun jumlah yang dibelanjakan oleh Google untuk pengiklanan tersebut tidak diumumkan.
Melalui iklan ringkas selama seminit 30 saat itu, Google memperlihatkan beberapa produk mereka digunakan secara mudah melalui pelayar web Chrome, dan seperti memfokuskan kepada Hari Bapa.
Selain daripada Google, di Malaysia, antara syarikat atas talian yang pernah mempromosikan iklan mereka melalui televisyen termasuklah ILuvIslam.com dan juga Mudah.my.