Nampaknya, MOL Global merupakan antara pemegang saham di Facebook, dimana kini diperkatakan nilai saham Facebook yang dipegang oleh MOL Global, syarikat tempatan yang telah mengambil-alih Friendster pada tahun 2009 berjumlah lebih $100 juta ataupun lebih tepat lagi $109 juta.
Seperti sedia maklum, sebelum ini MOL Global telah pun membeli Friendster pada penghujung tahun 2009 dengan harga diperkatakan sekitar $40 juta. Dan selepas itu, MOL telah mengumumkan kerjasama bersama-sama Facebook, dimana beberapa hakcipta dijual kepada Facebook, pada harga sekitar $40 juta. Namun begitu, kini ianya dilaporkan yang mana selain daripada itu, MOL turut sama menerima lebih kurang 700,000 saham Facebook pada pertengahan tahun 2010 sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut.
Dan kini, selepas hampir setahun, jumlah saham tersebut telah berkembang kepada lebih kurang 3.5 juta saham, yang mana menjadikan jumlah pegangan saham MOL Global lebih kurang $109 juta, pada kadar dikira yang mana memperlihatkan Facebook kini bernilai lebih kurang $70 billion.
Ianya semestinya merupakan sebahagian daripada angka yang besar, dan kini MOL Global dalam proses memperkenalkan semula Friendster dengan nafas yang baru, yang mana bakal menumpukan lebih kepada permainan dan muzik, dan dijangka akan diperkenalkan dalam beberapa bulan lagi.