Salah satu perkara yang sering dilaporkan oleh para pengguna Facebook akhir-akhir ini adalah dimana akaun mereka diambil-alih oleh pihak lain, dan pengguna asal menghadapi masalah untuk mengaksesnya, apatah lagi apabila terlupa alamat emel mereka. Untuk mengatasinya, kini Facebook memperkenalkan fungsi baru untuk memudahkan pengguna mendapatkan akses akaun mereka kembali dengan mudah.
Melalui fungsi terbaru ini, Facebook membolehkan para pengguna yang kehilangan akses ke Facebook dan emel untuk mendapatkan kembali kawalan akaun mereka dengan bergantung kepada rakan-rakan mereka. Melalui fungsi baru ini, Facebook akan memilih tiga orang rakan anda yang boleh dipercayai, dan seterusnya menghantarkan kod sekuriti kepada mereka, dimana kemudiannya, anda dikehendaki menghubungi ketiga-tiga rakan anda tersebut untuk mendapatkan kod tersebut, dan seterusnya mendapatkan kembali akses Facebook dengan mudah.
Selepas anda berjaya melakukan semuanya, anda dikehendaki menunggu sehingga 24 jam sebelum dapat mengakses akaun anda seperti biasa.
Walaubagaimanapun, fungsi ini juga mungkin akan menjadi salah satu perkara yang disalahgunakan oleh rakan-rakan anda yang lain, apatah lagi di Malaysia, para pengguna Facebook gemar menambah mereka-mereka yang tidak dikenali, dan hanya sekadar untuk menambah bilangan rakan-rakan mereka sahaja.