Seperti mana yang diperkatakan sebelum ini, kini Google mengesahkan yang mana nama versi Android seterusnya adalah Ice Cream Sandwich, dan menariknya ianya akan membawakan pelbagai perkara baru, dan ianya juga akan diserasikan untuk semua platform, termasuk telefon pintar dan juga tablet.
Melalui Ice Cream Sandwich juga, Google memperkatakan yang mana ianya akan membawakan beberapa rekabentuk sedia ada daripada Honeycomb. Selain daripada itu, ianya juga akan membawakan kebolehan untuk mengubah saiz sesuatu widget itu dengan mudah, serta akan membawakan teknologi kamera baru, dipanggil Virtual Camera Operator.
Melalui Virtual Camera Operator, ianya boleh mengetahui kedudukan pandangan dan kepala pengguna melalui webcam, selain boleh memfokuskan mereka yang bercakap melalui panggilan video secara automatik, sekiranya terdapat lebih daripada dua orang pada suatu masa yang sama.
Buat masa ini tiada tarikh pasti yang diperkatakan mengenai pelancarannya, namun Google menjanjikan kemaskini Ice Cream Sandwich ini pada suku tahun ke-empat tahun ini.