Seperti mana yang diperkatakan sebelum ini, hari ini Google secara rasminya telah pun melancarkan perkhidmatan pembayaran mudah-alih mereka yang mana dikenali sebagai Google Wallet. Seperti diperkatakan, ianya merupakan sistem pembayaran berasaskan NFC, dan hanya dikhaskan untuk pengguna US sahaja buat masa ini.
Melalui Google Wallet, para pengguna boleh melakukan pembayaran dengan hanya menggunakan telefon pintar mereka yang didatangkan bersama-sama dengan teknologi NFC. Menariknya adalah dimana Google turut sama akan mengintegrasikannya bersama-sama dengan Google Offers, sekaligus membolehkan penggunanya menikmati pelbagai diskaun menarik dikedai-kedai yang mengambil-bahagian.
Buat masa ini, Google Wallet hanya akan disokong oleh Nexus S. Namun begitu, menurut Google, sebuah API akan diperkenalkan membolehkan pembangun mengintegrasikannya pada telefon pintar mereka. Ini sekaligus memperlihatkan telefon seperti BlackBerry dengan NFC kelak mungkin akan turut sama menyokong Google Wallet.